Jual Diri Untuk Bayar Hutang


Sehingga kelmarin, Aleksandr Kramarenko sudah menerima 200 bidaan, termasuk daripada lelaki.

Moscow: Selepas gagal memenuhi kontrak yang ditandatangani dengan Pich Shop - syarikat hadiah atas talian di sini - seorang lelaki berusia 21 tahun bersetuju untuk dilelong kepada wanita yang membuat bidaan tertinggi dan berkahwin dengannya selama setahun, sebagai cara untuk mengelak dia disaman.

Syarikat berkenaan minggu lalu mengiklankan tawaran untuk melelong Aleksandr Kramarenko, 21, yang dikatakan boleh dikahwini dengan jaminan setahun.

Iklan itu turut menyatakan usia, ketinggian, berat, lambang zodiak dan minat lelaki berkenaan.

Syarikat itu mempelawa wanita yang berusia tidak melebihi 35 tahun membida untuk meraih peluang menjadi isteri Kramarenko selama setahun. Bidaan minimum ditetapkan sebanyak 10,000 ruble (RM735).

Ketika dihubungi, Pich Shop dan Kramarenko mengesahkan kesahihan iklan berkenaan.

Kramarenko ditawar untuk dijual selepas ia berhutang sebanyak 3.12 juta ruble (RM228,000) kepada syarikat itu setelah gagal memenuhi kontrak menyediakan bahan untuk dicetak pada masa yang telah dipersetujui kedua-dua pihak.

Syarikat itu bercadang mengambil tindakan mahkamah untuk menyamannya tetapi pada masa sama menawarkan dia pilihan - dilelong dan berkahwin selama setahun dengan wanita yang membelinya.

Kramarenko yang terdesak bersetuju.

Sehingga kelmarin, Pich Shop yang bertindak demikian kerana mahu mempromosi syarikatnya, sudah menerima 200 bidaan, termasuk daripada lelaki.

Bagaimanapun, lelongan itu hanya dibuka kepada wanita tidak melebih 35 tahun.

Pemenang akan diumumkan sedikit masa lagi bersama-sama tarikh perkahwinan.


LIKE FACEBOOK PAGE KAMI UNTUK UPDATE LEBIH PANTAS

<< SUKA INFO INI? KLIK LIKE DAN SHARE DI FACEBOOK >>