Showing posts with label Sejarah. Show all posts
Showing posts with label Sejarah. Show all posts

Tinggalan Kota Kaum Tsamud - Kaum Yang Dilaknat


Peninggalan Kota Tsamud yang dapat dilihat hingga kini

Dan ingatlah olehmu di waktu Tuhan menjadikam kamu pengganti-pengganti (yang berkuasa) sesudah kaum ‘Aad dan memberikan tempat bagimu di bumi. Kamu dirikan istana-istana di tanah-tanahnya yang datar dan kamu pahat gunung-gunungnya untuk dijadikan rumah; maka ingatlah nikmat-nikmat Allah dan janganlah kamu bermaharajalela di muka bumi membuat kerosakan.
Surah al-A’raaf ayat 74​

Kaum Tsamud adalah kaum yang dilaknat oleh Allah swt kerana mensyirikkan Allah swt kerana bertindak menyembah berhala. Kaum ini dianugerahkan oleh Allah swt dengan kemampuan dan kemahiran memahat gunung untuk dijadikan istana dan tempat tinggal. Diriwayatkan bahawa mereka menetap di Hijr iaitu nama sebuah kawasan pergunungan yang terletak di persimpangan jalan antara Madinah dan Syria.



Lokasi kota tsamud (Mada'in Salih)

Dan sesungguhnya penduduk-penduduk kota Al-Hijr (Tsamud) telah mendustakan rasul-rasul
Surah al-Hijr ayat 81 ​

Mukjizat Nabi Saleh

Seorang nabi telah diutuskan kepada kaum Tsamud, namun langsung tidak diendahkan oleh mereka. Nabi tersebut diceritakan di dalam al-Quran sebagai nabi Saleh as. Nabi Saleh as dianugerahkan dengan seekor unta betina sebagai tanda mukjizat baginda. Unta tersebut bukan sebarangan tetapi unta ajaib yang ‘lahir’ daripada celahan batuan gunung. Ia diceritakan Allah dalam surah al-Israa ayat 59,

Cerita lebih terperinci berkisar tentang mukjizat unta betina ini diceritakan oleh Allah swt dalam surah As-Syu’araa’ daripada ayat 154 sehingga 159.

Tidak Mengendahkan Seruan Nabi Saleh As

Miskipun demikian, kedatangan nabi Saleh as untuk mengajak mereka ke jalan tauhid langsung tidak diendahkan oeh mereka. Malahan, mereka bertambah engkar dan terus menerus mencerca dan mencabar nabi Saleh as. Ia diceritakan Allah swt dalam surah al-A’raaf,

Pemuka-pemuka yang menyombongkan diri di antara kaumnya berkata kepada orang-orang yang dianggap lemah yang telah beriman di antara mereka: “Tahukah kamu bahwa Saleh diutus (menjadi rasul) oleh Tuhannya?.” Mereka menjawab: “Sesungguhnya kami beriman kepada wahyu, yang Saleh diutus untuk menyampaikannya. Orang-orang yang menyombongkan diri berkata: “Sesungguhnya kami adalah orang yang tidak percaya kepada apa yang kamu imani itu. Kemudian mereka sembelih unta betina itu, dan mereka berlaku angkuh terhadap perintah Tuhan. Dan mereka berkata: “Hai Shaleh, datangkanlah apa yang kamu ancamkan itu kepada kami, jika (betul) kamu termasuk orang-orang yang diutus (Allah).” Karena itu mereka ditimpa gempa, maka jadilah mereka mayat-mayat yang bergelimpangan di tempat tinggal mereka. Maka Shaleh meninggalkan mereka seraya berkata: “Hai kaumku sesungguhnya aku telah menyampaikan kepadamu amanat Tuhanku, dan aku telah memberi nasihat kepadamu, tetapi kamu tidak menyukai orang-orang yang memberi nasihat.”
(surah al-A’raaf: 75-79)​

Azab Allah Swt Terhadap Kaum Tsamud Yang Kufur

Keengkaran dan kesombongan mereka terhadaps seruan nabi Saleh as telah menyebabkan mereka ditimpa dengan azab yang cukup pedih. Kehancuran kaum Tsamud adalah kerana sambaran petir yang mereka saksikan dengan mata mereka sendiri. Petir yang luar biasa dasyat ini yang menghasilkan bunyi yang cukup kuat. Firman Allah SWT yang bermaksud,

Dan adapun kaum Tsamud, maka mereka telah Kami beri petunjuk tetapi mereka lebih menyukai buta (kesesatan) daripada petunjuk, maka mereka disambar petir azab yang menghinakan disebabkan apa yang telah mereka kerjakan.
Surah as-Fushsilat ayat 17​

Berikut adalah bukti tinggalan kota kaum Tsamud, semoga umat Islam mengambil iktibar daripada apa yang berlaku kepada kaum-kaum terdahulu yang telah dilaknat Allah swt.

Allah menyediakan bagi mereka azab yang keras, maka bertakwalah kepada Allah wahai orang-orang yang mempunyai akal, (yaitu) orang-orang yang beriman. Sesungguhnya Allah telah menurunkan peringatan kepadamu
Surah at-Thalaq ayat 10​



Bangunan tersergam indah diukir pada gunung.



Sesalur dan mungkin ia adalah sistem peparitan



Jalan juga mereka cipta untuk kemudahan mereka.



Bangunan yang tinggal untuk umat hari ini menghayati.



Sebuah bangunan yang dipahat daripada gunung.



Tempat tinggal mereka turut dipahat daripada gunung.



Sebuah pintu diukir pada gunung.



Lihatlah keunggulan mereka dalam mengukir gunung untuk dijadikan bangunan.



Sebuah bangunan berdiri secara bersendirian di lembah padang pasir yang tandus.



Rangka Ratu Puabi, ratu kaum Tsamud.



Makam Nabi Saleh as.



Ukiran timbul sebuah patung.


<< SUKA INFO INI? KLIK LIKE DAN SHARE DI FACEBOOK >>

Black Death - Pandemik Paling Bahaya Dalam Sejarah

Black Death - Wabak Penyakit Paling Bahaya Dalam Sejarah



Black death (maut hitam) adalah singkatan nama wabak penyakit PES dan radang paru-paru yang telah memporak–porandakan Eropah antara tahun 1347 dan 1351.

Inilah merupakan bencana wabak penyakit (pendemik) terburuk yang pernah menimpa peradaban umat manusia di muka bumi ini.

Pendemik ini bermula di Asia barat daya dan merebak ke Eropah pada awal dekad 1340-an.​


Kutu tikus yang membawa bakteria yersinia pestis penyebab black death​


Jumlah kematian di seluruh dunia, akibat pandemik ini, dianggarkan sebanyak 75 juta orang, termasuk antara satu pertiga hingga dua pertiga jumlah penduduk Eropah

Tesebar ke seluruh dunia, wabak black death ini setidak-tidaknya telah membunuh kurang lebih 40 juta orang, termasuk diantaranya 25 juta orang di Eropah. Faktanya, black death membunuh satu dari setiap empat orang Eropah hanya dalam waktu empat tahun.


Penyakit Merebak

Penyakit ini berasal dari China, kemudian telah menular pada orang-orang Eropah ketika seorang Kipchak (Mongol) menyerbu sebuah keramaian dengan melemparkan jenazah ke tengah pusat perdagangan di Crimea.


Wabak penyakit black-death di Eropah mengikut tahun. ​



Kemudian wabak tersebut menrebak ke Genoa pada 1347, lalu tersebar ke bahagian barat dan utara, dan merebak ke London dan Paris pada 1348. Wabak itu mungkin dibawa pertama kali oleh kutu tikus yang juga dapat hidup pada manusia. Hal ini kemudian berubah menjadi wabak penyakit radang paru-paru yang menyebar melalui batuk dan bersin.


Kesan akibat wabak black death ini, tanah lapang dipenuhi dengan mayat-mayat, rumah-rumah, kampung-kampung dan bandar menjadi sunyi dan kosong.

Mengikut sejarah, kononnya ribuan kerangka manusia yang digunakan sebagai kontruksi dasar bangunan Evora Chapel di Portugal itu merupakan kerangka mangsa keganasan wabak black death.


Penyebab

Pada umumnya dipersetujui hingga ke hari ini bahawa penyakit tersebut merupakan wabak yang disebabkan oleh bakteria Yersinia pestis. Bakteria ini dibawa oleh kutu, yang dipindahkan pada manusia melalui hubungan dengan tikus. Gigitan kutu membawa penyakit ini ke sistem limfa, melaluinya ia memasuki nodus limfa.




Mikrograf bakteria yersinia pestis yang diimbas melalui mikroskop elektron


Di sini bakteria membiak dan membentuk bengkak yang dikenali sebagai "buboes", Selepas tiga atau empat hari bakteria memasuki saluran darah, menjangkiti organ seperti limpa dan pari-paru.




Bangkakan buboes​


Pesakit biasanya akan menemui maut selepas beberapa hari. Jaluran lain penyakit ini adalah wabak pneumonia, di mana bakteria menjadi bawaan udara dan memasuki secara langsung ke dalam paru-paru mangsa. Jaluran jenis ini adalah lebih merbahaya, kerana ia merebak secara langsung dari pesakit kepada yang lain.

Jangkitan jenis ini kemungkinannya memainkan peranan besar dalam black deathh, sementara jaluran ketiga adalah lebih jarang. Ini merupakan wabak Sepsis, di mana gigitan kutu membawa bakteria langsung kealiran darah, dan kematian berlaku dengan pantas.


<< SUKA INFO INI? KLIK LIKE DAN SHARE DI FACEBOOK >>

Melayu Champa - Kaum Utsul di Pulau Hainan

Kaum Utsul di Pulau Hainan




Kaum Utsul merupakan salah satu kumpulan etnik kecil yang tinggal di pulau Hainan, Republik Rakyat China. Mereka berdiam di hujung selatan Pulau Hainan iaitu berhampiran dengan bandar Sanya.

Apa pula kaitan Kaum Utsul ini dengan Kaum Melayu di Malaysia? Kaum Utsul ini merupakan keturunan pelarian Cham yang melarikan diri dari tanah air mereka iaitu di Negara Melayu Champa (sekarang terletak di selatan Vietnam) untuk melarikan diri daripada serangan kaum Vietnam yang datang dari arah utara. Jika ditinjau dari sudut sejarah, selepas kemangkatan Raja Champa yang bernama Indrawarman IV, takhta kerajaan telah dirampas oleh seorang Vietnam bernama Luu Ky-Tong pada tahun 986 Masihi.

Tindakan ini telah ditentang oleh penduduk Champa tetapi mereka tidak sanggup menentang orang Vietnam yang jauh lebih ramai dan kuat. Justeru itu, ramai daripada mereka telah berhijrah ke Hainan dan Canton di tenggara China. Pada tahun 986 Masihi, beberapa ratus orang Champa telah berhijrah ke Hainan di bawah pimpinan Pu Lo E. Dan pada tahun 987 dan 988 Masihi, dua rombongan lagi telah sampai di Canton dan memohon perlindungan China.

Rombongan tahun 987 Masihi dipimpin oleh Li Nian Bing sementara rombongan tahun 988 Masihi dipimpin oleh Hu Xuan, yang merupakan pelat sebutan Cina untuk “Hussain”. Ketiga-tiga tokoh terbabit merupakan orang Islam.

Pelarian Cham yang melarikan diri ke kawasan sebelah utara iaitu di Pulau Hainan ini merupakan golongan dari kelas perniagaan sementara sebahagian besar pelarian Cham yang lain telah melarikan diri ke negara jiran iaitu Kemboja dan sebahagian kecil ke semenanjung Tanah Melayu. Sehingga ke hari ini, masih tidak diketahui bagaimana nama kaum mereka iaitu Champa boleh berubah menjadi nama Utsul di Pulau Hainan.



Kerajaan China mendefinisikan Kaum Utsul ini sekelas dengan Kaum ‘Hui’, memandangkan Kaum Utsul ini sebagaimana Kaum Hui menganut agama Islam.

Walaubagaimanapun, daripada laporan oleh Hans Stübel, seorang ahli Etnografi dari Jerman yang "menemui" mereka sekitar tahun 1930-an dahulu, memaklumkan bahasa yang digunakan oleh Kaum Utsul ini sama sekali tidak berkaitan dengan mana-mana bahasa lain yang dituturkan di daratan besar China. Masyarakat etnik Utsul ini bertutur dalam Bahasa Tsat, yang merupakan salah satu daripada segelintir Bahasa daripada kelas Malayo-Polynesia yang menggunakan tonal (nahu). Pada hari ini, bilangan masyarakat etnik Utsul hanya sekitar 5,000 orang sahaja.


<< SUKA INFO INI? KLIK LIKE DAN SHARE DI FACEBOOK >>

77 Tahun Tragedi Hitam Deir Yassin, Palestin. Kejam!

Adakah Anda Tahu?



(Tragedi hitam Deir Yassin dalam kenangan)​

Sudah menjadi kenyataan bahawa agenda dunia kini dikendalikan oleh media proksi Barat, yang majoritinya memihak kepada Yahudi, Zionis dan Israel yang sentiasa menyembunyikan kebenaran peristiwa-peristiwa yang berlaku di mana-mana di dunia ini terutamanya di Palestin. Namun, sudah terlalu banyak kejadian yang berupa kezaliman dan kekejaman yang keterlaluan serta bersifat kebinatangan telah didokumentasikan oleh pertubuhan-pertubuhan kemanusiaan antarabangsa. Tragedi Deir Yassin yang berlaku 65 tahun yang lalu adalah satu daripada ratusan peristiwa yang menggambarkan sifat brutal penjajah Yahudi Zionis di bumi Palestin.

Di manakah letaknya Deir Yassin ?

Deir Yassin dahulunya adalah sebuah perkampungan kecil orang-orang Palestin yang terletak di sebelah barat wilayah Baitul Maqdis.

Deir Yassin terletak kira-kira 1400 meter di utara Yad Vashem, sebuah tugu peringatan Holocaust yang paling terkenal di mana Yahudi Zionis telah mengajar dunia agar “Tidak Akan Lupa” terhadap Holocaust.

Apakah latar belakang tragedi Deir Yassin ?

Tahun 1948 adalah tahun malang bagi rakyat Palestin apabilasecara sistematik negara mereka terus dicabuli dengan penjajahan Yahudi Zionis. Rentetan duka Palestin terus berpanjangan apabila sidang pleno PBB yang dipengaruhi Yahudi telah mengeluarkan ‘Ketetapan 181’ yang malang pada 29hb November 1947 dengan membahagikan 2/3 tanah Negara Palestin kepada pendatang Yahudi manakala bakinya yang hanya 1/3 keluasan tanah Palestin pula diberikan kepada penduduk asal Palestin yang sah.


Pengganas Haganah menghalau rakat Palestin keluar dari negara mereka sendiri

Ketetapan ini sangat bercanggah dengan prinsip PBB sendiri iaitu untuk melaksanakan ketetapan hak-hak bangsa dari segi kebebasan dan penentuan nasib mereka sendiri. Rakyat Palestin yang terlibat dengan isu ini tidak langsung diminta pendapat dan keizinan malahan mereka mengalami kezaliman dan penindasan yang amat dahsyat.

Namun rakyat Palestin terus bangkit berjuang hampir bersendirian di kala penjajah Yahudi Zionis terus dibantu oleh British dan PBB secara langsung sehinggalah berlakunya penubuhan negara haram Israel pada tanggal 15hb Mei 1948.

Tragedi Deir Yassin



Pada malam 9hb April 1948, penduduk desa Deir Yassin dikejutkan dengan perintah yang keluar dari corong-corong pembesar suara supaya mereka mengosongkan kampong mereka. Sebelum mereka mengetahui dan memahami apa yang berlaku, mereka telah dibunuh terlebih dahulu oleh kumpulan pengganas Yahudi Zionis dari kumpulan Stern, Irgun dan Haganah.

Pegawai-pegawai daripada Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa dan PBB yang datang ke tempat kejadian menyaksikan bagaimana rumah-rumah penduduk Deir Yassin telah dibakar, manakala yang cuba melarikan diri dari api yang menyala telah ditembak bertalu-talu. Dalam serangan ini, wanita-wanita yang hamil telah dirobek perutnya dengan pisau hidup-hidup. Selama dua hari peristiwa ini berlaku, 52 orang kanak-kanak telah disiksa lalu dibunuh di hadapan ibu mereka dan kepala-kepala mereka dipenggal selepas itu. Lebih daripada 60 orang wanita telah dibunuh dan anggota-anggota badan mereka telah dikerat-kerat.

Tidak puas dengan pembunuhan tersebut, pihak teroris Zionis ini telah mengumpulkan semua wanita dan remaja perempuan yang masih hidup di desa Deir Yassin, menanggalkan seluruh pakaian mereka lalu membaringkan mereka di atas kenderaan secara terbuka. Para teroris ini telah membawa mereka ke sekeliling kawasan perumahan yahudi di wilayah Baitul Maqdis di dalam keadaan tanpa seurat benang sebelum mereka semua dibunuh dengan muntahan peluru-peluru yang kejam.

Apa kata saksi tragedi Deir Yassin yang terselamat ?
Diantara kata-kata saksi pelarian tragedi Deir Yassin yang sempat menyelamatkan diri termasuklah:-

Arafat Hijazi, salah seorang saksi yang masih hidup menceritakan,

”Saya melihat seorang tentera Yahudi memegang saudara saya, Saliha al Halabi yang hamil Sembilan bulan. Dia meletakkan senapangnya di leher Saliha lalu memuntahkan peluru sehingga Saliha terbunuh. Tentera tersebut mengambil sebilah pisau lalu membelah perutnya sehingga terburai, kemudian mengeluarkan anak Saliha yang telah mati dengan pisau Nazinya yang mengerikan itu”.

Fahmy Zaidan, satu-satunya yang selamat daripada seluruh isi keluarganya dan berumur 12 tahun pada tragedi tersebut menceritakan mimpi ngerinya,

”Pengganas Yahudi telah mengarahkan semua ahli keluargaku berdiri mengadap ke dinding. Mereka kemudiannya menembak semua ahli keluargaku satu persatu. Aku terselamat kerana aku sempat berlindung di kalangan ahli keluargaku yang dewasa. Mereka terus menembak sehinggakan sebutir peluru telah mengenai Qadriya, adik perempuanku yang berumur 4 tahun. Kemudian seorang demi seorang gugur termasuklah ayahku, ibuku, datuk dan nenekku, pak cik dan mak cik saudaraku serta anak-anak mereka”.

Jacques de Reynier, Ketua misi Pertubuhan Palang Merah ke Palestin pada 1948, yang melihat anggota-anggota mayat yang dipotong serta berselerakan berkata,

“Keadaan yang ada sungguh mengerikan. Saya juga melihat orang-orang muda lelaki dan perempuan yang memegang senapang dan bom tangan. Tangan-tangan mereka masih berlumuran dengan darah. Saya melihat seorang wanita Yahudi yang kelihatan sebagai seorang penjenayah yang sangat kejam. Dia memperlihatkan darah-darah yang menitis dari kedua-dua tangannya seraya mengangkatnya dengan bangga seolah-olah dia sedang memegang dua piala kejuaraan”.

Angka korban yang besar

Tiada siapa yang pasti jumlah penduduk desa Deir Yassin yang terkorban dalam tragedi ini. Ada laporan yang menyatakan bahawa jumlah yang terkorban adalah seramai 254 orang termasuk kanak-kanak dan wanita serta orang-orang tua. Menurut laporan PBB, hanya 40 orang daripada kira-kira 400 orang penduduk desa ini yang sempat menyelamatkan diri sedangkan yang lainnya telah disembelih dan dibunuh dengan kejam.

Siapakah arkitek kepada tragedi ini?

Harus diperjelaskan bahawa para teroris yang melakukan pembunuhan beramai-ramai ini bukanlah anggota organisasi ekstrimis Yahudi yang bertindak bersendirian bahkan mereka telah mendapat arahan terus daripada pemerintah Israel.

Kumpulan pengganas Haganah (yang kemudiannya mejadi batalion tentera Israel), telah mengebom desa Deir Yassin menggunakan mortar manakala kumpulan Irgun dan kumpulan Stern menyerang dari jarak dekat. Semasa kejadian ini, David Ben-Gurion yang merupakan Perdana Menteri Israel yang pertama telah menentukan polisi kumpulan Haganah; manakala Menachem Begin yang merupakan Perdana Menteri Israel yang ke 6, telah mengetuai Irgun dan Titzhak Shamir yang merupakan Perdana Menteri Israel yang ke 7, adalah bekas ketua pengganas kumpulan Stern.

Menachem Begin telah menggambarkan operasi yang tidak berperikemanusaan ini sebagai salah satu contoh resmi betapa kejam dan brutalnya regim Israel dengan kata-kata, “Tragedi ini tidak hanya dibenarkan, malahan tidak akan wujud Negara Israel ini tanpa ‘kemenangan’ di Deir Yassin”.

Kesan Deir Yassin


Rejim Yahudi Zionis telah menjadikan serangan seperti itu untuk menghukum dan menzalimi rakyat Palestin dan mengusir mereka dari bumi Palestin sehinggalah pendatang-pendatang haram Yahudi mempunyai tempat dan masa depan untuk hidup di Palestin. Israel Eldad, seorang pemimpin Zionis yang terkenal pernah berkata,”Jika tidak ada Deir Yassin, setengah juta orang Arab akan tetap tinggal di Negara Israel (pada tahun 1948). Dengan demikian, Negara Israel tidak akan pernah wujud”.

7 dekad selepas Deir Yassin

Kini telah 77 tahun berlalunya tragedi hitam Deir Yassin. Tragedi ini hanyalah satu daripada ratusan rentetan tragedi yang berlaku kepada rakyat Palestin. Negara Palestin yang dahulunya aman dan rakyatnya yang telah dinaungi keadilan terus dijajah oleh rejim Yahudi Zionis. Penangkapan, penyiksaan, penyembelihan dan pembunuhan terus berlaku tanpa mendapat perhatian yang selayaknya dari media antarabangsa. Konspirasi senyap lagi bisu di kalangan mereka juga telah menular di kalangan media Arab serta dunia Islam sekeliannya.

Sudah sampai masanya untuk kita mengambil berat isu dan permasalahan umat ini agar terbela maruah Palestin dan umat Islam di seluruh dunia.

Persoalan yang timbul, adakah kita rakyat Malaysia akan bersimpati dan prihatin dengan isu terbesar umat Islam di abad ini. Apalah sangat sumbangan yang telah kita berikan jika dibandingkan dengan saudara kita di Palestin yang telah mengorbankan keringat dan keselesaan, jiwa dan kehidupan demi mempertahankan maruah umat di bumi mulia ini.

Janganlah kita biarkan peristiwa demi peristiwa yang berlaku ini sekadar menjadi lembaran sejarah tetapi marilah kita bersama melakari sejarah baru ketika umat amat menantikan fasa kebangkitan dan kegemilangan. Jangan tengok kiri atau kanan, jangan tanya orang lain tetapi tanya diri kita sendiri. Apa yang telah dan yang akan aku sumbangkan?


<< SUKA INFO INI? KLIK LIKE DAN SHARE DI FACEBOOK >>

Misteri Dan Sejarah Kampung Batu Putih

Batu Putih adalah sebuah kampung melayu yang terletak di sebelah kanan jalan dari Simpang Lima ke Parit Sulong. Seluas lebih kurang setengah ekar. Tumbuh bertaburan warna batu itu putih berkilau-kilauan beserta tiap-tiap sebuah batu lebih kurang dibandingkan dengan gajah. Dua ekor gajah sama sebuah batu. Tingginya lebih kurang ada yang dua depa dan yang ada kurang dari itu. Tetapi pada masa sekarang batu itu berwarna kelabu tidak seperti dulukala.


Kampung batu putih ini diteroka oleh beberapa orang yang datang dari Jawa Tengah yang diketuai oleh Haji Sanawi pada tahun 1876. Diteroka dari tepi sungai Simpang Kiri hingga jejak ke Parit Kuda tengah Mukim 1, Lubuk. Pada mulanya kampung ini hendak dinamakan kampung Parit Haji Sanawi tetapi oleh kerana terjumpanya batu tersebut sebulat suara menamakan kampung Batu Putih hinggalah sekarang.

Batu-batu yang pecah di sekeliling batu besar tidak boleh diambil sembarangan. Barangsiapa yang mengambilnya terpaksa terkena pulangkan. Ini telah berlaku beberapa orang yang mengambilnya terpaksalah memulangkan semula ke tempat asal mereka mengambilnya kerana malam tidak dapat tidur badanya terlalu panas seperti ada orang yang mengacaunya.

Pada tahun 1905, pada malam isnin, sedang beberapa orang penduduk situ mengadakan maulud di masjid tempat yang ada sekarang ini seorang daripadanya yang bernama Wak Naim telah ternampak di kawasan batu putih itu terbakar sebesar-besarnya api menjulang ke langit lebih kurang dua puluh depa tingginya. Yang menjadi anehnya orang – orang yang ada di dalam masjid itu tidak ternampak kawasan batu itu terbakar. Hanya Wak Naim seorang sahaja yang nampak. Tetapi apabila Wak Naim memegang tangan kawan-kawannya baharulah semua nampak. Pada keesokkan harinya ramai-ramai pergi mendapatkan(menghampiri) di kawasan batu putih itu untuk menyaksikan peristiwa malam tadi. Apabila dilihatnya di kawasan itu masing-masing tercengang-cengang kerana tidak ada pun ranting atau daun-daun kayu yang terbakar. Pokok-pokok kayu hidup seperti biasa.

Pada Tahun 1924 berlaku satu lagi peristiwa iaitu angin puting beliung dari kawasan batu putih menuju bangunan masjid yang ada sekarang. Di lain-lain kawasan yang berdekatan tidak terjejas. Waktunya dalam pukul tiga petang.

Dengar cerita orang tua-tua situ mengatakan orang yang bertapa di Batu Putih telah keluar perkara ini memang berlaku. Setahu saya pada tiap-tiap awal muaharan hinggalah 10 muharam ada orang yang bertapa dalam tempoh 10 hari tetapi semenjak kebelakangan ini sudah tidak ada lagi.

Pada tahun 1958 berlaku satu lagi perkara ganjil iaitu seorang hamba Allah balik dari bekerja kebun berhenti penat di kawasan batu Putih lebih kurang dalam pukul 11 pagi ternampak beberapa pandangan aneh. Pada pandangan-pandangannya di kawasan Batu Putih itu seperti bandar. Ada beberapa buah kereta, lori, bas dan motosikal berjalan menuju hal dan masing ada orang menyidai kain, ada orang berjalan-jalan dan ada orang membeli belah hinggalah pukul satu tengahari. Isterinya menunggu-nunggu di rumah . Biasanya pukul 11 pagi sudah balik. Ini pukul satu belum lagi balik. Jiran-jiran sekeliling yang turut mencari di kebun tempat mereka bekerja pun tidak jumpa. Seorang hamba Allah bernama Mokhsin mengatakan tadi dalam pukul 11 beliau sudah balik lalu di belakang rumah saya. Apabila diturut di belakang rumah Mokhsin terjumpa hamba allah tersebut sedang duduk dengan memegang sebilah parang panjang. Kemudian di tanya oleh orang ramai “mengapa wak ada sini ?”. Jawabnya seperti yang dia nampak tadi.


Tidak berapa lama daripada berlakunya seperti yang di atas, pemuda tempatan tak payah di sebutkan namanya masa hendak pergi main bola tangkis di sebelah kampung tersebut lalu di jalan itu terdengar beberapa suara wanita berbual-bual dan ketawa mengilai-ngilai. Kemudian pemuda itu berhenti dan mengendap. Apabila dilihatnya beberapa wanita muda-muda belaka sedang mandi bersiram-siram antara satu sama lain. Kemudian pemuda tadi mengundurkan diri terus memberitahu kepada kawan-kawanya untuk menyaksikan kejadian yang berlaku. Apabila sampai ke tempat tersebut didapati tempat itu semak samun tidak ada sebarang bekas pun.

Dengar cerita dongeng, Batu Putih itu asalnya daripada Tanah Jawa. Dilemparkan oleh seorang wali ketempat tersebut kerana untuk menindihkan sebilah keris yang bernama Sitruku Mabtar (kalau tak silap eja lah). Keris ini menjadi rebutan oleh orang-orang Jawa. Kononnya barang siapa yang dapat menyimpan keris tersebut orang itu menjadi mulia hidupnya dan boleh memerintah. Dengar lagi satu cerita mengatakan keris tersebut telah dibawah oleh orang yang bertapa semasa kejadian ribut puting beliung berlaku.

Sekianlah sahaja.

Disediakan oleh
Haji Sulaiman Onn
01/01/1994

Note: Allahyarham Haji Sulaiman Bin Onn merupakan bekas Ketua Kampung Batu Putih.

<< SUKA INFO INI? KLIK LIKE DAN SHARE DI FACEBOOK >>

Sejarah Dan Asal Usul Permainan Chess (Catur)


Sejarah chess (catur) menjangkau kira-kira 1500 tahun.

Permainan chess sebenarnya berasal daripada India, sebelum abad ke-6 Masihi. Dari India, permainan ini tersebar ke Parsi.

Apabila orang-orang Arab menakluki Parsi, chess telah diambil oleh dunia Islam dan kemudiannya merebak ke Eropah Selatan.

Di Eropah, chess berubah bentuk semasa dalam abad ke-15.

Pada separuh kedua abad ke-19, permainan kejohanan chess moden bermula, dan Kejohanan Catur dunia pertama telah diadakan pada tahun 1886.

Pada abad ke-20, teori chess semakin mendapat sambutan dan mengalami perkembangan serta penubuhan dari World Chess Federation (FIDE).

Perkembangan dalam abad ke-21 termasuk penggunaan komputer untuk analisis, yang berasal pada tahun 1970-an dengan permainan catur 1 program di pasaran.

Permainan dalam talian muncul pada pertengahan 1990-an.

Perkataan "catur ataupun chess" itu sendiri berasal dari perkataan "Chaturanga" dari bahasa Sanskrit yang bermaksud Empat Bahagian Ketenteraan.

Catur kemudian tersebar ke seluruh pelusuk dunia dengan pelbagai jenis permainan sehinggalah sampai kita kenal sekarang.

Permainan ini tersebar sehingga ke Timur Jauh dan India dan menjadi salah satu pelajaran di Persia dan dibawa bersama pedagang yang menggunakan Jalan Sutra dan Chaturanga untuk masuk ke Eropah melalui Kerajaan Byzantine Persia, dan menyebarkannya ke Tanah Arab.

Kemudian, Islam pula membawa chess ke Afrika Utara, Sicily, dan Sepanyol pada abad ke-10.

Permainan ini kemudian menjadi popular di Eropah.

Pada akhir abad ke-15, permainan dilarang oleh pihak gereja. Pada generasi kini, terdapat banyak buku rujukan mengenai strategi permainan, cara penggunaan jam chess.


(Gambar sebenar abad ke-12 Lewis Chessmen. Baris atas menunjukkan king, queen, dan bishop. Baris bawah menunjukkan knight, rook, dan pawn)



India

Asal-usul chess mula dikenali dengan nama "Chaturanga", yang berkembang di India pada abad ke-6.

Sejak awal lagi, permainan ini memerlukan 2 orang pemain.

Mempunyai pergerakan permainan yang berbeza untuk setiap buah chess, kemenangan bergantung pada King dan menggunakan apa sahaja strategi untuk mempertahankan King tersebut.

Dalam chess kuno, papan catur memiliki 100 kotak atau malah lebih.

Pada awal abad 19, sebuah pendapat yang disampaikan oleh Kapten Hiram Cox dan Duncan Forbes menyatakan bahawa, chess dimainkan 4 orang sekaligus, termasuk empat pemain dalam Chaturanga.

Dalam terminologi Sanskrit, "Chaturanga" bermaksud "memiliki empat bahagian".

Dalam puisi lagenda kepahlawanan bererti "Tentera" Nama itu sendiri datangnya dari sebuah formasi pertempuran dalam lagenda Mahabrata yang terkenal di India.

Chaturanga adalah sebuah strategi permainan perang untuk tentera India saat itu.



(Krishna & Radha bermain Chaturanga pada 8x8 Ashtāpada)

Ashtāpada, kotak 8x8 di sebuah papan merupakan tempat bermain Chaturanga.

Papan lain yang terkenal di India adalah Dasapada 10x10 dan Saturankam 9x9.

Ilmuwan Arab Abu al-Hasan ‘Alī al-Mas’ūdī memberi penjelasan tentang penggunaan catur sebagai sebuah alat strategi ketenteraan, matematik, perjudian dan hubungan dengan ramalan nasib di India.

Mas'ūdī mencatatkan bahawa gading di India terutamanya digunakan untuk pengeluaran kepingan catur dan backgammon.

Beliau menegaskan bahawa permainan telah diperkenalkan ke Parsi dari India, bersama buku Kelileh va Demneh semasa pemerintahan maharaja Nushirwan.



(Iranian Shatranj set, glazed fritware, 12th century. New York Metropolitan Museum of Art)


Kemudian terjadilah evolusi pada permainan Chaturanga yang dikenali dengan nama Shatranj (Chatrang), iaitu sebuah permainan dengan dua orang pemain yang kalah disebabkan checkmate atau menemui jalan buntu dan kemenangan ditentukan melalui memakan setiap buah chess (kecuali King) atau melalui penaklukan terhadap raja lawan.

Beberapa buah chess India tersebut seperti Rook, Knight, Bishop telah dinamakan semula dengan perkataan lain seperti Boat, Horse, Elephant ataupun Elephant Horse dan Camel.

Tetapi pergerakan masih sama.


Timur Tengah

Karnamak-i Ardeshir-i Papakan, sebuah risalah lagenda Pahlavi mengenai pengasas Empayar Sassanid Persian memperkenalkan permainan Chatrang sebagai salah satu cara agar rakyat mengenangnya sebagai seorang pahlawan legenda.

Catatan tertua tentang permainan ini dibuat pada abad ke-10 yang dimainkan diantara seorang sejarawan Baghdad dan muridnya.

Pada abad ke-11, Shahnameh dan Ferdowsi datang pada seorang Raja India untuk menggambarkan kembali peperangan di papan chess.

Kisah ini diterjemahkan dalam Bahasa Inggeris berdasarkan manuskrip dari muzium British.

"Suatu hari seorang duta besar Raja Hindu telah datang ke persidangan Persia di Chosroes, dan setelah beramah mesra, duta besar itu mempersembahkan sebuah papan catur yang diperbuat dari kayu eboni dan gading.
Lalu melontarkan tentangan: “Oh raja yang besar, temukanlah orang-orang terpandai dan terbijak untuk memecahkan misteri permainan ini. Jika mereka berjaya, kami Raja Hindu akan memberikannya gelaran. Namun jika ia gagal hal itu membuktikan tingkat kepandaian penduduk Persia lebih rendah dan kami akan meminta petunjuk dari Iran.”
Utusan itu kemudian menunjukkan papan catur yang ia bawa. Sehari kemudian, setelah berpikir keras, Bozorgmehr, berhasil memecahkan misteri itu dan kemudian mendapat gelaran seperti yang dijanjikan."



(Manuskrip Parsi dari abad ke-14 menggambarkan bagaimana seorang duta besar dari India yang membawa catur kepada mahkamah Parsi)



Eropah

Chaturanga memasuki Eropah melalui Persia, seiring penyebaran pengaruh Kerajaan Byzantine dan perluasan Arab.

Chess sudah pun memasuki Eropah Selatan sejak milenium pertama.

Pihak tentera akan memperkenalkan chess apabila berjaya menakluki setiap kawasan jajahannya seperti penaklukan Norman Conquest of England dan menjadikan chess semakin popular dari Eropah Utara.

Nilai sosial menjadi kelebihan permainan ini.

Pada masa dahulu, permainan ini dikaitkan dengan kehormatan dan kebudayaan tinggi sehingga beberapa papan chess diperbuat dari bahan istimewa dan mahal.

Populariti chess semakin bertambah di masyarakat Barat antara abad 12 sampai 15 Masihi.

Pada masa itu buku chess biasanya ditulis dalam bahasa Latin.

Sewaktu perkembangan chess di Eropah, permainan ini dikaitkan dengan gaya hidup kesatria.

Peter Alfonsi dalam bukunya Disciplina Clericalis, memasukkan chess ke dalam tujuh keahlian yang harus dimiliki oleh seorang kesatria.



(Knights Templar bermain chess, Libro de los juegos, 1283)


Ia juga melambangkan kedudukan catur di khazanah seni diraja.

Raja Henry I, Raja Henry II dan Raja Richard I dari England merupakan penaung catur pada masa itu.

Raja-raja lain yang mendapat status yang sama adalah Raja Alfonso X dari Sepanyol dan Raja Ivan IV dari Russia.

Ketika pihak gereja mengeluarkan larangan permainan chess terhadap masyarakat.

Saint Peter Damian mengumumkan permainan ini memberi kesan buruk bagi masyarakat.

Bishop Florence pula mempertahankan dirinya dengan mengisytiharkan bahawa kemahiran catur yang terlibat "tidak seperti permainan lain," dan hujah-hujah yang sama yang diikuti dalam abad yang akan datang.

Pada abad ke 12, buah catur mulai tetap, menjadi raja (king), ratu (queen), gajah/patih (bishops), kuda (knights) dan benteng (rooks). Pawn mulai dihubungkan dengan pasukan tentera.


(Jadual perbezaan sebutan bagi setiap buah chess dari pelbagai bangsa)


Pada abad pertengahan, permainan ini berjalan lama, bahkan ada permainan yang baru selesai setelah diadakan berhari-hari lamanya.

Peraturan tentang pembatasan waktu baru mulai diperkenalkan tahun 1300 AD.

Pergerakan pawn boleh melangkah dua kotak ke hadapan semasa permulaan pergerakan juga diperkenalkan.

Pada tahun 1475 AD, terjadinya evolusi permainan chess mulai diperkenalkan konsep promosi pawn yang boleh berubah menjadi Queen serta Castling.


(Karya buku Gioacchino Greco)


Seorang pemain chess dariItali, Gioacchino Greco, yang dianggap sebagai salah satu pemain professional pertama.

Beliau membuat analisis dan menulis buku mengenai illustrasi strategi chess yang berbeza.

Karya ini membuat catur menjadi permainan popular serta mulai menunjukkan banyak teori mengenai taktik dan strategi permainan ini.

Karya pertama yang memuatkan pelbagai strategi dan kombinasi kemenangan ditulis oleh François-André Danican Philidor dari Perancis yang dianggap sebagai pemain catur yang terbaik di dunia selama hampir 50 tahun, dan diterbitkan dalam abad ke-18.

Beliau menulis dan menerbitkan L'Analisis des échecs (Analisis Catur), sebuah buku berpengaruh yang muncul dalam lebih daripada 100 edisi.


Era Moden

Pertandingan chess mula diperkenalkan pada tahun 1834 dan pada tahun 1851, London Chess Tournament mula memperkenalkan batas-batas waktu bagi setiap pemain.

Ketika pertandingan, pemain sering mengambil masa yang lama untuk menggerakkan buah.

Dan seorang pemain telah mengambil sebanyak 2 jam dan 20 minit berfikir untuk menggerakkan satu buah semasa London Chess Tournament.

Pada tahun berikutnya chess pantas iaitu perlawanan chess dalam masa 5 minit telah diperkenalkan.

Terdapat seorang pemain yang gagal mengikut peraturan itu dikenakan penalti.

Pada tahun 1861 pertandingan chess dengan masa yang ditetapkan mula dimainkan di Bristol, England.


Alat yang digunakan adalah jam pasir.

Kemudian, jam pasir telah digantikan dengan jam moden pada awal abad ke-19.

Namun yang popular adalah pemain dibenarkan untuk menggerakkan buah chess sebanyak 30 kali dalam masa 2 jam


<< SUKA INFO INI? KLIK LIKE DAN SHARE DI FACEBOOK >>

Asal Usul Mandi Bunga


Mandi bunga adalah antara amalan yang masyhur di kalangan masyarakat tempatan. Mandi bunga dilakukan kerana dua sebab, yang pertama semata-mata untuk mewangikan badan dan menyegarkannya. Sebab kedua pula memiliki tujuan-tujuan tertentu seperti menghilangkan 's!al' dan sebagainya. Berikut ulasan menarik daripada Hazman Ibn Hassan Al-Arawi berkenaan mandi bunga yang duduk dalam kategori kedua.


Asal Usul Mandi Bunga

Mandi bunga memang merupakan ritual orang Melayu yang mempunyai unsur-unsur yang sudah tersinkretis antara kepercayaan Dinamisme, Hindu-Buddha dan ‘Popular Islam’.

Dinamisme ialah kepercayaan adanya ‘tenaga tak berperibadi’ dalam diri manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, benda-benda hidup, perkataan yang diucap atau ditulis, dalam tanda-tanda yang dirakamkan dan sebagainya (O.K Rahmant S.H,1983:8). Dalam bidang antropologi, tenaga ini juga biasa disebut sebagai ‘mana’ dengan meminjam istilah rumpun suku Polynesia. Ia dikenali sebagai ‘sahala’ oleh orang Batak dan ‘kesakten’(kesaktian) oleh orang Jawa. Untuk orang Melayu, ‘mana’ dikenali sebagai ‘semangat’ (rujuk konsep ‘lemah semangat’ dan ‘kus semangat’). Di kalangan orang Melayu, ‘mana’ bagi raja-raja dikenali sebagai ‘daulat’ dan ‘tulah’ sedangkan bagi orang-orang ‘agama” (mulanya pawang dan dukun, kemudian sami dan ‘Tok Ca’, akhirnya alim-ulama’) dipanggil dengan ‘berkat’ dan ‘keramat’.

Dalam kepercayaan Hindu, tumbuh-tumbuhan mempunyai banyak kegunaan di dalam serba-serbi ritual yang dijalankan. Limau berfungsi mengusir hantu dan syaitan, sedangkan bentuknya yang bulat-bujur melambangkan dunia sebagai ‘chakra’ di sebuah makrokosmos di dalam falsafah occultisme Hindu. Saya pernah melihat ketika Thaipusam, salah satu varieti Kavadi yang dibawa dengan tujuan mahu bertaubat dan bersyukur kepada dewa-dewi, mencucuk bahagian-bahagian badannya dengan set cangkuk-cangkuk besi yang tajam. Satu set cangkuk terdiri daripada dua cangkuk dihubungkan dengan seutas tali khas. Satu cangkuk akan dibenamkan menembusi kulit dan daging pembawa kavadi sedangkan satu cangkuk lagi akan dibenamkan dengan buah limau nipis yang akan dibiarkan berjuntai sambil berat buah limau itu akan menambahkan ‘efek’ cangkuk yang dibenamkan ke dalam badan yang pertama tadi (mungkin lebih sakit dan lebih susah maka lebih banyak pahala dan keampunan dosa yang diberikan??). Sesiapa yang sempat meneliti koleksi poskad tentang tema seperti ‘Malaysian Festival’ atau ‘Penang’ Insya-Allah akan dapat melihat sendiri, kalaupun tidak mahu memerhati dengan lebih dekat akan perarakan di Batu Caves atau Pulau Pinang. Mandi juga merupakan salah satu ritual yang popular di kalangan penganut Hindu, misalnya mandi untuk menyucikan dosa-dosa di Sungai Ganges atau mandi minyak pada pagi Deepavali.

Unsur-unsur ‘Islam’ (‘Popular Islam as been understood’, bukan Islam yang berteraskan al-Qur’an dan Sunnah yang sahih) akan ketara apabila bacaan mantera akan dimasukkan lafaz basmalah, dan diakhiri dengan hamdalah dan syahadah (Haron Daud,2001). Orang yang mandi akan disuruh berselawat, membaca surah-surah tertentu, malah ada yang disuruh menghadap kiblat dan mandi ketika azan bergema. Semua ini lebih ketara apabila mandi bunga dianggap sebagai suatu wasilah kepada ‘ikhtiar dan tawakkal’. Lebih pening lagi apabila bomoh sendiri berpesan ‘Allah sahajalah yang menolong awak, saya cuma berikhtiar’(??). Mandi Bunga juga cuba dirasionalkan sebagai ‘agama’ sebagaimana mandi-mandi lain yang disyari’atkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih seperti mandi junub, mandi kerana menganut Islam, mandi sunnat hari jumaat, mandi sunnat Hari Raya, dan sebagainya.

Unsur ‘Popular Islam’ juga ketara apabila teori ‘bau’ dapat difahami. Ada orang Islam yang percaya bahawa salah satu makanan makhlus halus khususnya jin dan roh ialah asap dan bau yang tertentu. Oleh itu, salah satu tujuan kemenyan dan setanggi akan dibakar dalam pelbagai upacara ialah untuk menguatkan kedatangan makhlus halus yang tertarik dengan ‘makanannya’. Sebaliknya makhluk halus yang jahat seperti hantu dan syaitan suka dengan ‘bau’ yang lain pula seperti darah dan benda-benda kotor sebagai makanan. Maka, kononnya apabila bau tertentu dihasilkan, makhluk yang suka kepadanya akan datang dan makhluk yang membencinya akan lari.

Oleh itu, aroma daun, bunga dan limau dalam mandi bunga akan menjauhkan makhluk jahat tertentu dan mendatangkan makhluk lain yang ‘baik’ (malaikat 44, jin Islam, roh wali-wali Allah, roh ‘Puteri Gunung Ledang’ dll ?) sebagai khadam atau ‘pendamping’.

[ Cuba fikirkan kenapa dalam majlis mawlid ada yang membakar kemenyan yang mahal-mahal (contohnya yang sekilo harganya sampai RM seratus lebih dibeli di Makkah) supaya ‘wangi’? Sekurang-kurangnya diusahakan agar ada bunga rampai daripada campuran daun pandan yang diracik, air mawar, minyak attar dan pelbagai bunga untuk ‘wangi’ ? ]

Dan mengapa pula ketika pembacaan mawlid, antara pertukaran satu section ke section lain akan diselangi dengan korus ‘ATIRILLAHUMMA QABRAHUL KAREEM…’bermaksud Ya Allah, HARUMkanlah kubur baginda yang mulia .. yang diulang-ulangkan?? (Nak HARUM dengan apa melainkan dengan aroma bau yang wangi?). Saya pernah hadir ke majlis mawlid (in fact saya pun berzanji juga waktu tu) yang ketika sampai ke part menceritakan kelahiran Nabi maka semua hadirin akan bangun bermarhaban sambil dulang-dulang berisi bunga rampai diedarkan untuk para hadirin mengambil seorang sedikit bunga rampai tersebut. Syukurlah kalau semua ni sekadar ‘tradisi’, ‘adat kebiasaan’ atau ‘prop’ dalam suatu pertunjukkan ‘teater berunsur Islam tahunan’ yang sangat bersahaja. Akan tetapi kalau dikaitkan dengan hadirnya roh Rasulullah SAW maka apa akan jadi dengan kesahihan aqidah kita?? Mujurlah kita di Malaysia belum terpengaruh dengan amalan puak Brelvi di India yang sampai menyiapkan pelamin emas untuk kononnya diduduki oleh roh Nabi ketika majlis mawlid. Wallahul Musta’an.

Mandi Bunga dilakukan dengan tujuan untuk membuang 's!al' pada pelakunya, menjauhkan gangguan makhluk halus serta sekaligus menaikkan seri dan mendatangkan tuah (‘ong’ kata orang cina) bagi dirinya (Amran Kassimin,1993:34). Daun, bunga dan limau dengan sifat tertentu (contoh daun bertemu urat, warna tertentu etc.) dan bilangan tertentu (contoh tujuh jenis bunga dipetik ketika pagi masih berembun) ditambah dengan mantera yang dibaca oleh bomoh akan mendatangkan ‘mana’ atau tenaga tak berperibadi yang tersendiri yang akan mendatangkan manfaat yang diinginkan. Wujud juga varieti mandi untuk ‘membuang sial’ yang lain dikenali sebagai mandi tolak bala, ‘mandi pengantin’ untuk bakal pengantin, ‘mandi bertabal’ untuk pertabalan raja yang baru dan sebagainya.

Kenapa orang lain yang kena bersihkan sisa mandian? Sebab ‘sial’ (‘sueh’ kata orang cina) itu sudah ‘tumpah’ ke bahan-bahan mandian, maka kalau orang yang mandi juga yang bersihkan sisa tersebut maka nanti ‘sial’ itu ‘hinggap’ semula, tuah yang dijemput akan lari dan apa yang dihajati tidak dicapai.
Secara peribadi, saya berpandangan bahawa limau bersama-sama sirih pinang adalah merupakan ‘tiang seri’ dan ramuan utama dalam adat-istiadat orang Melayu. Misalnya:

i. Air tepung tawar yang ‘basic’ terdiri daripada campuran air, bahan-bahan lain dan tidak ketinggalan limau purut yang dihiris (O.K Rahmat,1983:11)

ii. Kajian A.Aziz Bidin dan Aishah Muhammad (1998:180) terhadap tumbuhan ritual mendapati limau nipis digunakan sebagai pengeras bagi pelajar silat dan perubatan tradisional. Limau purut pula diperah dan dicampurkan dengan air bagi mengubat penyakit terkena buatan orang.

iii. Upacara ‘mandi-mandi’ atau ‘berlimau’ diadakan sebagai pakej adat perkahwinan Melayu selepas kedua-dua pengantin bersatu dengan pengantin berpakaian lengkap dan duduk di bawah kain yang diregangkan dengan pegangan dua orang di kiri dan kanan. Air dan campuran limau, sintuk dan sebagainya akan dijiruskan daripada atas menerusi kain tersebut (Syed Alwi,1986:41)

iv. Kajian Amat Juhari Moain (1990:105) di Sungai Dacing, Lenggeng Negeri Sembilan mendapati dalam upacara berdoa’ dan memanggil semangat padi, pawang akan mengambil limau-limau yang disediakan untuk ‘ditawarkan’ dengan cara menepung tawar, menjampi dan meludahnya tiga kali. Selepas itu, limau akan dipotong-potong dan dibawa ke sawah untuk ditempatkan di tapak semaian padi agar padi subur dan selamat dari bencana.

Demikianlah sedikit analisis tentang sebab dan teori mandi bunga, mohon dibetulkan mana yang salah. Adapun tentang kedudukannya di sisi aqidah dan syari’ah Islamiyyah diserahkan kepada mereka yang lebih berilmu untuk menanggapinya.​

<< SUKA INFO INI? KLIK LIKE DAN SHARE DI FACEBOOK >>