Ramai penonton pasti masih mengingati watak pemilik rumah sewa yang garang, berambut kerinting dan sentiasa berrokok dalam filem Kung Fu Hustle. Namun tidak ramai yang tahu bahawa watak ikonik itu dilakonkan oleh Yuen Qiu, seorang pelakon yang sebenarnya telah bersara hampir 20 tahun daripada dunia lakonan sebelum filem tersebut diterbitkan.
Apa yang lebih menarik, kehadiran Yuen Qiu ke sesi uji bakat Kung Fu Hustle bukanlah untuk mencuba nasib. Dia hanya datang menemani seorang rakan yang ingin menghadiri uji bakat. Ketika menunggu giliran rakannya, Yuen Qiu duduk di satu sudut sambil menghisap rokok dengan wajah bosan, memerhati sekeliling tanpa sebarang minat.
Tanpa disangka, sikapnya yang bersahaja, selamba dan sedikit angkuh itu telah menarik perhatian Stephen Chow, pengarah terkenal filem tersebut. Chow terus merasakan bahawa aura semula jadi itulah yang selama ini dicarinya untuk watak pemilik rumah sewa yang unik dan berkarisma.
Namun, memujuk Yuen Qiu bukanlah perkara mudah. Pada mulanya, dia menolak tawaran tersebut mentah-mentah, kerana lebih gemar menghabiskan masa bermain mahjong bersama rakan-rakan berbanding kembali ke set penggambaran yang memenatkan. Demi mendapatkan persetujuan, Stephen Chow dilaporkan sanggup datang ke rumahnya dan menunggu sehingga permainan mahjong selesai.
Akhirnya, demi menjayakan watak tersebut, Yuen Qiu bersetuju untuk kembali berlakon. Dia malah sanggup menambah berat badan sebanyak 14 kilogram dalam tempoh dua bulan bagi memastikan watak itu benar-benar hidup.
Hasilnya, lakonan beliau yang natural dan penuh karakter menjadi antara elemen paling diingati dalam Kung Fu Hustle sehingga ke hari ini. Kisah ini membuktikan bahawa rezeki boleh datang tanpa dirancang, pada waktu yang paling tepat, dan dalam keadaan yang langsung tidak disangka.




