Siapa Abdullah Hukum? Sejarah Kuala Lumpur


Abdullah Hukum atau nama asalnya Abdullah Rukun, ketika itu berusia 15 tahun berkelana merentasi Selat Melaka ke Melaka sebelum ke Kuala Lumpur bersama sekumpulan rakannya dengan berjalan kaki tiga hari tiga malam. Banyak tempat yang disinggahi dan banyak pula pengalaman ditempuhinya. Setibanya di Kuala Lumpur, beliau menumpang di rumah Haji Abdul Ghani di Java Street.

Ketika itu, Kuala Lumpur mempunyai dua lorong saja iaitu Java Street dan Market Street, manakala Ampang Street (kini Lebuh Ampang) dahulunya adalah tempat sekumpulan ceti beroperasi dan di situ juga ada sebuah kolam ikan milik Almarhum Sutan Puasa.

Rumah kedai pada masa itu berbumbung atap bertam dan berdinding buluh, manakala peniaga di situ kebanyakannya menjual kain dan makanan, semuanya orang Melayu berketurunan Rawa dan Mendahiling. Sutan Puasa dan Raja Bilah adalah di antara ketua masyarakat berpengaruh ketika itu. Kedua-dua ketua ini mengutip hasil dagangan daripada peniaga yang melalui Sungai Klang dan Sungai Gombak. Cukai timah pada masa itu ialah seringgit sebahara (tiga pikul).

Setapak (dulu Hulu Sungai Tapak) dan Air Panas (dulunya Hulu Gombak) adalah kawasan sawah padi milik Sutan Puasa. Beliau pernah mengambil upah membuat tali air selama tiga tahun di Serambut (Batu Lima Gombak sekarang). Ketika itu, Sutan Puasa adalah ketua yang disenangi penduduk tempatan kerana semua orang boleh mengerjakan sawahnya dengan kadar upahan sepuluh gantang padi daripada setiap seratus gantang.

Abdullah Hukum juga pernah pergi menghadap Raja Laut (Putera Raja Muhamad) kerana ingin meminta sebidang tanah untuk dijadikan kampung baru. Raja Laut memberikan surat kebenaran untuk membuka tanah di Pudu dan menjadi ketua penduduk di situ. Ada ramai orang Kerinchi mengikutnya dan tinggal di Pudu (di kawasan Bukit Bintang sekarang).

Di sana, Abdullah Hukum dan pengikutnya menjalankan aktiviti menanam sayur-sayuran, tebu, pisang, sirih dan bersawah padi. Abdullah Hukum menjadi Ketua Kampung di Pudu selama tujuh tahun. Dikatakan juga beliau pernah menjadi nakhoda yang mengambil upah membawa beras dengan perahu dari Klang ke Kuala Lumpur. Dia mendapat upah empat puluh ringgit untuk sekoyan guni beras.

Selepas membuka kawasan Pudu, Abdullah Hukum mendapat surat kebenaran daripada Raja Mahmud (Putera Sultan Muhamad) untuk membuka kebun di Bukit Nanas. Beliau juga mendapat surat kebenaran daripada Maxwell dan Raja Laut membuka Sungai Putih (kawasan Jalan Bangsar sekarang).

Ketika tinggal di Sungai Putih, Abdullah Hukum membuka Bukit Candi Putra (kini Bukit Putera) yang menempatkan Kompleks Angkasapuri dan Kampung Kerinchi). Abdullah Hukum diangkat menjadi Ketua Kampung di Sungai Putih dengan persetujuan Penghulu dan Datuk Dagang. Selepas dilantik secara rasmi sebagai Ketua Kampung dan Penghulu, Abdullah Hukum menghentikan perniagaan kerbau kerana beban tugas semakin bertambah.

Ketika beliau menjadi Penghulu inilah Abdullah Hukum cuba menyatukan tiga kaum utama di situ Melayu, Cina dan India. Sebagai menghargai kejayaannya itu, dia menamakan jalan utama di situ sebagai Jalan Bangsa sempena penyatuan ketiga-tiga kaum. Bangsa kemudian bertukar menjadi Bangsar.

Apabila meletus peperangan Selangor dan Pahang, Sultan Abdul Samad memanggil Abdullah Hukum untuk membantu melawan musuh baginda. Baginda melantik Abdullah Hukum yang juga Datuk Dagang sebagai panglima perang.

Sebagai menghormati jasa dan bakti Datuk Dagang, Sultan Abdul Samad mengurniakan sebidang tanah seluas satu perempat ekar kepadanya. Tanah itu terletak berhampiran Sungai Klang, satu kawasan strategik dari segi pertanian dan perhubungan. Di samping itu, Datuk Dagang dikurniakan kuasa untuk menyelesaikan masalah di kalangan penduduk kampung dan kawasan sekitarnya.

Datuk Dagang menjadikan kawasan itu sebagai perkampungan tetap untuk pengikutnya. Kampung itu dinamakan Kampung Haji Abdullah Hukum sempena nama beliau. Ketika Abdullah Hukum datang ke kampung itu, pada 1890-an, pekerjaan utama penduduk di situ ialah bersawah padi dan bercucuk tanam.

Selepas kemangkatan Sultan Abdul Samad pada 1898, Abdullah Hukum menumpukan baktinya kepada putera baginda, Sultan Alauddin Sulaiman Shah. Abdullah Hukum pulang ke Sumatera pada 1929, selepas menjadi ketua kampung selama tujuh atau lapan tahun. Menurut cerita, beliau meninggal dunia pada usia 125 tahun.

Haji Mahmud, seorang daripada enam anaknya mengambil tugas ketua kampung selepas bapanya mengundur diri. Cucunya, Kamaruddin Mahmud mewarisi pusaka kampung ini hingga sekarang, dan kesan peninggalan termasuklah sebuah rumah milik Abdullah Hukum masih ada di kampung Abdullah Hukum.

Kini, Kampung Abdullah Hukum terletak di tengah bandar raya Kuala Lumpur sudah jauh berubah. Harga tanah dan rumah kediaman di situ melambung berpuluh kali ganda. Sudah tidak ada orang yang bersawah padi atau berkebun sayur di situ lagi. Sungai Klang yang menjadi terusan di Kampung Haji Abdullah Hukum sekarang bukanlah aliran sungai yang asal. Sungai ini dulunya melingkari bahagian Jalan Syed Putra yang kini menjadi tapak pusat beli-belah Mid Valley.

Alangkah malang jika nama besar ini turut tersisih seperti pupusnya nama Taman Ghazali Shafie dan kampung Paya di Jalan Bangsar berdekatan Kampung Abdullah Hukum, selepas deretan kedai yang menempatkan peniaga Melayu di situ dirobohkan untuk projek pembesaran Jalan Bangsar sekitar 1987. Walaupun peniaga di Taman Ghazali Shafie itu dipindahkan ke Kompleks Bangunan Uda di Bangsar Utama, nama Taman Ghazali Shafie tidak lagi tertera di atas peta Kuala Lumpur.

Kita tidak mahu nama Abdullah Hukum, seorang peneroka awal penempatan Kuala Lumpur tertindih dengan tumpuan terhadap Kapitan Yap Ah Loy sehingga nama Abdullah Hukum turut terpadam di dalam lipatan sejarah Kuala Lumpur.

Demikian iltizam Abdullah Hukum yang menjadi ikon warisan sejarah Kuala Lumpur sejak penerokaannya dalam era 1850-an sehingga ke hari ini. Sejarah 50 tahun Malaysia merdeka tahun ini biarlah dirayakan tanpa meluputkan nama pejuang dan perintis bangsa yang banyak meninggalkan jasa, seperti Abdullah Hukum.

<< SUKA INFO INI? KLIK LIKE DAN SHARE DI FACEBOOK >>

Lagenda Danau Toba - Tasik Tercantik Di Dunia


Menurut cerita masyarakat Batak yang tinggal di sekitar Danau Toba, dahulu Danau Toba adalah kawasan yang gersang dan tandus. Rata rata penduduknya hidup miskin. Di sana tinggal seorang pemuda bernama Luhut, seorang anak yatim piatu yang menyara hidup dengan bertani. Untuk mengisi waktu kelapangan, Luhut sering menjala dan memancing di kuala sungai.

Suatu hari, Luhut pergi menangkap ikan. Namun sehingga petang beliau tidak memperoleh seekor ikan pun. Sewaktu hendak berkemas pulang, Luhut terlihat seekor ikan besar berwarna kuning emas yang indah di dalam sungai. Luhut terus melebarkan jalanya dan berjaya menangkap ikan tersebut. Sesampainya di rumah, Luhut tidak sampai hati hendak memasaknya kerana kasihan. Dia menyimpan ikan tersebut di dalam bekas.

Keesokan harinya, Luhut pergi bertani di ladangnya seperti biasa. Ketika pulang ke rumah, dia sangat terkejut kerana melihat makanan telah sedia terhidang. Lama dia berfikir siapa yang menyediakan makanan untuknya. Kerana lapar, dia memakan dengan lahap makanan itu. Kejadian aneh ini berulang setiap hari. Lalu Luhut merancang untuk mengintip siapa yang terlalu baik menyediakan makanan untuknya. Suatu hari, apabila terlihat asap api dari dapur, dia menghendap untuk mengetahui siapakah gerangan orang yang memasak.

Alangkah terkejutnya Luhut ketika dilihatnya seorang wanita cantik sedang asyik menanak nasi di dapur. Luhut lalu masuk ke dalam rumahnya dan mendapati ikan yang ditangkapnya tempoh hari tiada di tempatnya. Dia bertanyakan wanita tersebut, “Adakah kau melihat ikanku?” Tanya Luhut dengan perasaan cemas. Mendengar pertanyaan Luhut, wanita tersebut menangis teresak esak. Luhut makin curiga. Setelah berkali kali ditanya, akhirnya wanita tersebut menjawab, “Sebenarnya akulah ikan itu.”

Alangkah terperanjatnya Luhut. Dia bagaikan tidak percaya. Seekor ikan menjelma menjadi wanita cantik. “Adakah ini benar?” tanya Luhut.

“Menang benar. Aku adalah ikan yang kau tangkap. Namaku Butet.” Jawab wanita tersebut.

Luhut tertarik dengan kecantikan wanita tersebut.

“Wahai Butet, aku di sini hidup keseorangan. Mahukan kau menjadi isteriku?” tanya Luhut.

Wanita tersebut diam.

“Kenapa kau membisu?”, tanya Luhut lagi.

Setelah sekian lama membisu, wanita tersebut menjawab, “Aku sudi menjadi isterimu, tetapi dengan satu syarat yang kau tak boleh mungkiri”, kata wanita itu.

“Apakah syaratnya?”

“Syaratnya ialah kau tidak boleh memberi tahu atau membuka rahsia bahawa aku adalah seekor ikan.”

“Baiklah,” jawab Luhut. Mereka pun berkahwin.

Luhut dan Butet hidup bahagia dan dikurniakan dengan seorang anak yang diberi nama Tigor. Tigor akan membantu menghantarkan makanan kepada Luhut ketika Luhut berkerja di ladangnya.

Suatu hari, sewaktu dalam perjalanan menghantar makanan kepada Luhut, Tigor berasa lapar. Dia membuka bungkusan makanan ayahnya dan memakannya dengan lahap sekali sehingga yang tinggal hanya tulang ikan sahaja. Setelah selesai memakannya, Tigor membungkus semula sisa makanan tersebut dan menghantar kepada Luhut.

Bukan kepalang marah Luhut apabila mengetahui makanannya hanya tinggal sisa tulang. Didorong oleh rasa marah, Luhut tanpa sengaja telah melanggar sumpahnya dengan berkata,

“Memang engkau ini dasar anak ikan!” kata Luhut sambil menghayunkan tangan ke pipi anaknya Tugor.

Tugor berlari lari pulang ke rumah. Sambil menangis, dia bertanya kepada ibunya, “Ibu, betulkah aku ini anak seekor ikan?”

Butet sangat terkejut. Suaminya telah melanggar sumpah janjinya.

Ketika itu juga, langit mula bertukar gelap. Kilat sabung menyabung. Petir sambar menyambar. Suasana semakin cemas. Kemudian, diikuti dengan hujan lebat dan badai yang bergelora. Butet dan Tigor hilang dari pandangan. Dari bekas tapak kaki mereka muncul mata air yang mengeluarkan air yang deras. Air itu terus mengalir sehingga seluruh kawasan tenggelam menjadi sebuah tasik atau danau. Danau itu digelar Danau Tuba, yang bermaksud danau yang tak tahu mengenal kasih. Lama kelamaan, nama Tuba berubah menjadi Toba. Sehingga kini, danau tersebut digelar Danau Toba.

Danau Toba terkenal dipelusuk dunia sehingga ke hari ini dan ramai yang telah melawat tempat tersebut mengakui Danau Toba sebagai tasik yang tercantik di dunia.


<< SUKA INFO INI? KLIK LIKE DAN SHARE DI FACEBOOK >>

Sejarah Peta Dunia Ajaib MUHIDDIN PIRI REIS


Pada tahun 1929, sekumpulan pengkaji sejarah telah membuat penyelidikan di istana Topkapi yang terletak di Konstantinopel, Turki. Di dalam istana itu, mereka telah menemui segulung peta yang berusia ratusan tahun, yang diperbuat dari kulit rusa berukuran 90 x 65 cm. Peta tersebut bertarikh Muharam 919 bersamaan 9 Mac-7 April 1513.

Di atas peta itu, mereka telah menemui beberapa perkara yang aneh dan menakjubkan. Peta tersebut memaparkan outline pantai Amerika Utara dan Selatan dengan pengukuran yang amat tepat. Peta itu juga memuatkan maklumat yang sangat terperinci mengenai Amerika, Lautan Atlantik, Eropah dan pantai-pantai Afrika yang belum dijelajah oleh penjelajah Eropah pada masanya! Satu lagi perkara yang menghairankan para pengkaji tersebut, ia juga memaparkan benua Antartika, padahal wilayah itu belum ditemukan hingga tahun 1818!

Mereka mengkaji lagi. Mereka membuat perbandingan antara jarak pantai timur Amerika dengan pantai barat Afrika pada peta kuno itu dengan jarak yang sama pada peta yang termoden sekali. Sekali lagi mereka tercengang!Sangat tepat dan ini mustahil dibuat oleh pelaut zaman itu kerana kelengkapan dan teknologi mereka umumnya diketahui sangat terhad untuk membuat kerja-kerja kartografi dan pemetaan. Adakah ini mencukupi untuk mengatakan peta kuno ini benar-benar menakjubkan? Tidak. Sebenarnya ada lagi perkara lain yang begitu aneh dan tersangat luar biasa. Tersangat luar biasa bagi sebuah peta kuno yang diperbuat dari kulit rusa.

Peta aneh tersebut ditunjukkan kepada Arlington T. Mallerey, seorang pakar peta kuno. Setelah beberapa lama membuat kajian, beliau akhirnya merasa bingung dengan peta aneh tersebut. Mengapa? Ini adalah kerana data geografi pada peta tersebut tidak berada dalam posisi yang tepat.

Orang-orang disekelilingnya mula 'lega' kerana akhirnya peta tersebut mempunyai kelemahannya. Sudah pasti ada kelemahan kerana peta itu dibuat oleh pelaut-pelaut kuno yang dikatakan hanya mengenal kompas dan bintang-bintang!Jadi apa nak dihairankan, walaupun mereka sedar persoalan bagaimana peta tersebut boleh memaparkan Antartika masih menjadi misteri. Tetapi Mallerey masih sangsi dengan peta itu. Beliau merasakan ada yang tidak kena dengan peta itu. Seakan-akan ada sesuatu yang lebih luar biasa yang ingin ditunjukkan oleh helaian kulit rusa yang berbau hamis itu.

Akhirnya dengan bantuan US Navy Hydrographic Bureau, Mallerey membuat sebuah grid dan memindahkan peta itu ke dalam sebuah glob. Betapa terkejutnya Mallerey karena peta tersebut ternyata sangat tepat!

Kajian demi kajian terus dilakukan ke atas peta yang menghairankan ramai cendekiawan itu.

Kajian lanjutan dilakukan oleh Professor Charles H Hapgood dan Richard W Strachan. Mereka telah mengkaji peta ini berkali-kali dan akhirnya menjumpai satu aspek yang tidak diketahui para pengkaji sebelum mereka. Suatu perkara yang benar-benar mustahil dan luar biasa. Mereka menemukan bahwa peta kuno itu kemungkinan merupakan gambar aerial yang difotokan dari suatu ketinggian tertentu. Sungai, lembah, pegunungan, pulau dan padang pasir, digambarkan dengan ketepatan fotografi yang amat tinggi. Dan tahap fotografi yang tinggi ini hanya dapat dicapai dengan menggunakan satelit!!

Siapakah yang membuat peta yang menakjubkan itu? Bagaimana beliau dapat membuat peta yang begitu tepat dan canggih, yang pada masa kini hanya dapat dilakukan dengan menggunakan satelit? Adakah beliau berasal dari puak Viking, yang terkenal sebagai pelaut yang handal? Atau setidak-tidaknya penjelajah Sepanyol atau Portugis yang mendabik dada kononnya merekalah orang pertama yang mengelilingi dunia? (walaupun sebenarnya Ferdinand Magellan tidak pernah menghabiskan pelayarannya kerana terbunuh di Filipina, tetapi dihabiskan oleh Henry The Black atau Enrique dalam dialek Sepanyol yang nama sebenarnya Hitam berasal dari kepulauan Melayu dan sememangnya orang Melayu!)

Tidak, si pembuat peta ini bukanlah dari kalangan orang Eropah yang kononnya amat pandai dari semua bidang.

Peta itu adalah karya Muhiddin Piri Reis. Beliau ialah seorang pelaut, laksamana angkatan tentera laut Turki dan kartografer Muslim terkemuka dari abad ke-16.

RIWAYAT MUHIDDIN PIRI REIS

Piri Reis lahir pada 1465, di Gallipoli, Turki, yang merupakan wilayah pantai. Ayahnya bernama Haci Mehmet, sedangkan bapa saudaranya merupakan seorang laksamana terkenal ketika itu, Kemal Reis.

Seperti anak-anak yang pada umumnya yang dipengaruhi suasana sekelilingnya, sejak kecil lagi beliau bergelut dengan pantai dan kebiasaan untuk berlayar. Tidak menghairankan ketika umurnya baru 12 tahun, beliau telah bergabung bersama bapa saudaranya, Kemal Reis.

Meskipun masih remaja, rupanya beliau sarat dengan pengetahuan. Beliau tidak merasa kekok berlayar bersama bapa saudaranya. Dan masa itu menjadi awal kepada kerjayanya mengharungi lautan dan samudera bersama Kemal Reis. Selama 14 tahun Kemal Reis memberi bimbingan kepada anak saudaranya itu.

Sepak terjang Kemal Reis di laut lepas, membuatkan Kesultanan Uthmaniyyah memberinya kedudukan terhormat di Angkatan Laut Diraja pada tahun 1494. Tambahan pula tenaganya membuatkan angkatan laut Kesultanan Uthmaniyyah semakin kuat. Mereka terkenal, dengan perjuangan tanpa akhir bagi tegaknya Islam.

Bergabungnya, Kemal Reis di angkatan laut kesultanan, membuat Piri pun akhirnya bergabung pula beberapa saat kemudian. Ia tetap berada di bawah arahan bapa saudaranya, walaupun beliau telah mula dipercayai untuk memimpin pasukan kecil.

Setiap selang waktu, Piri seringkali pulang ke kampung halamannya. Di sana beliau tidak tinggal diam, namun mencatatkan setiap apa yang dilihatnya dari perjalanannya selama ini ke dalam sebuah karya; peta. Terbukti, pada 1513 ia mampu menghasilkan sebuah peta dunia. Dalam karyanya itu, ia memetakan Laut Atlantik serta pantai-pantai di Eropa, karyanya diberi tajuk I-Bahriye.

Pada 1516-1517 Piri Reis mendapat mandat untuk memimpin pasukan Uthmaniyyah melawan Mesir. Dalam kesempatan ini Piri berlayar ke Kaherah melalui Nil dan kemudian menggambarkan sebuah peta dan memberikan maklumat yang terperinci tentang wilayah tersebut.

Setelah Mesir bergabung dengan kesultanan Uthmaniyyah, Piri memiliki kesempatan melakukan hubungan peribadi dengan pemegang tampuk kekuasaan di sana, Yavuz Selim. Beliau memperlihatkan peta hasil buatannya kepada sang sultan. Hasil karyanya itu juga ditambahkan ke dalam Bahriye.

Pertempuran dahsyat Piri alami juga bersama bapa saudaranya ketika melawan pasukan dari Venesia pada 1520. Dan pasukan Uthmaniyyah saat itu mampu memukul mundur pasukan musuh. Hal ini merupakan kemenangan yang besar bagi Uthmaniyyah.

Kegembiraan yang beliau rasakan beberapa saat kemudian berubah menjadi duka. Bapa saudaranya yang dikasihi, Kemal Reis, gugur akhirnya. Untuk menggantikan posisi Kemal Reis, pihak pemerintah kemudian malantik Piri Reis menjadi laksamana Kesultanan Uthmaniyyah.

Meskipun Piri telah menjadi laksamana yang begitu padat kegiatannya, beliau tetap meluangkan masanya untuk menuliskan catatan perjalanannya selama ini. Pada 1528 sampai 1529, Piri melengkapi peta pertamanya yang tercantum dalam I-Bahriye.

Kali ini, beliau berhasil memetakan wilayah Barat Daya Atlantik, sebuah wilayah yang disebut dunia baru yang terletak dari Venezuela hingga bagian selatan Greenland. Jadi tidak hanya kemenangan di laut yang beliau rasakan.

Dengan kenyataan ini, Piri Reis juga telah memberikan sumbangan bagi ilmu pengetahuan, terutama Geografi dan Nautika atau Ilmu Pelayaran. Ilmu yang mereka kembangkan tidak hanya berguna bagi kalangan Islam, namun kepada seluruh dunia.

Sang waktu terus merambat. Piri Reis, sang laksamana, telah memberikan sumbangan bagi kebesaran Kesultanan Uthmaniyyah, juga keharuman Islam. Ia telah melakarkan prestasi besar dengan karyanya I-Bahriye yang menjadi panduan bagi orang-orang setelahnya, dalam berlayar. Beliau akhirnya meninggal dunia pada tahun 1554.

Semua karyanya akhirnya dijumpai oleh dunia moden. Itulah yang diceritakan pada awal artikel ini. Ketepatannya dan bagaimana ia difoto dari pandangan atas amat menghairankan ramai orang. Sehingga ada pendapat yang mengatakan ia menggunakan teknologi makhluk asing!Ada juga pendapat yang mengatakan ia adalah peta yang dibuat oleh bangsa-bangsa yang hilang seperti Atlantis ataupun Lemuria. Bangsa-bangsa ini dikatakan mempunyai tamadun dan teknologi yang tinggi.

Bagaimana Piri Reis membuat peta yang begitu tepat? Mujurlah Piri Reis bukanlah seorang yang kedekut ilmu, tidak seperti sesetengah puak seperti Illuminati yang baru dapat secubit ilmu sudah berlagak sombong dan mengaku Tuhan. Piri menyatakan bahawa peta itu dibuat berdasarkan 34 sumber yang berbeza-beza. Ada 20 peta dari zaman Alexander yang Agung, 8 peta karya ahli geografi Muslim, 4 peta Portugis, dan 1 peta hasil karya Columbus.

Kemudian peta itu disaring, dikaji ketepatannya dan diubahsuai mengikut kepakaran kartografi Piri yang sememangnya banyak pengalaman dan akhirnya kesemua peta tadi diringkas menjadi satu peta dunia. Ini sesuai pengakuan Piri Reis, ''Di dalam abad ini (Pada masa Piri hidup), tidak ada peta seperti peta ini sebelumnya, '' kata Piri Reis lagi, ''Dibuat dengan cara menggabungkan keseluruhan peta menjadi satu skala peta ... maka hadirlah peta yang benar dan yang dapat dipercayai ...''

Walaupun begitu, bagaimana Piri membuat pengubahsuaian sehingga menghasilkan peta yang begitu tepat dan benar melampaui kronologi sejarah amat mengkagumkan. Malah sangat tepat jika ditinjau dari segi kronologi geografi.

Contohnya, Greenland digambarkan sebagai dua pulau yang berbeza. Kejanggalan ini akhirnya pupus setelah ada penyelidikan yang dilakukan ekspedisi kutub yang dilakukan ilmuwan Perancis. Mereka menyatakan bahwa ketika itu terjadi gempa yang membuat lapisan ais merekah dan menghasilkan ruang pemisah.

Pada Januari 1966, di majalah Fate, Profesor Charles H Hapgood menjelaskan penemuan yang mengagumkan tersebut. Ini merupakan hal yang luar biasa, Piri dapat memetakan tempat di mana seorang pun tidak dapat menemukan Antartika hingga 1818.

Menariknya, Hapgood benar-benar tercengang, betapa lengkapnya peta tersebut dan langsung mengubah anggapannya selama ini bahwa orang-orang Islam tidak memiliki ilmu kartografi yang baik!. Ilmuwan Jerman, P Kahle, melakukan analisis dan mengiktiraf bahwa Piri merupakan seorang ahli kartografi yang handal dan terhebat sepanjang zaman.

Jadi bagaimana dengan kita sebagai umat Islam?Adakah kita masih memikirkan bahawa Islamlah pembawa kemunduran, kolot dan ketinggalan zaman? (atau agama keganasan?-ini adalah pandangan paling primitif pada masa kini). Kita diajar di sekolah tentang sumbangan tokoh-tokoh Barat kepada kemajuan dunia, sehingga tergenggam ijazah di tangan pun masih manis mulut memuji-muji kecerdikan tokoh-tokoh Barat.

Tahukah anda para sarjana Barat benar-benar mengagumi para ilmuwan Islam dahulukala?Tahukah anda bahawa untuk membina superkomputer Blue Gene/L (ini adalah superkomputer yang terpantas di dunia, selaju 136.8 teraflop persaat-trillion pengiraan titik perpuluhan persaat) nenek moyang para jurutera IBM yang hidup pada zaman kegelapan Eropah terpaksa melutut meminta secebis ilmu daripada pensyarah-pensyarah mereka yang beragama Islam di universiti-universiti seluruh empayar Islam. Para cendekiawan Barat hari ini telah menulis banyak buku yang merakam sumbangan dunia Islam kepada dunia. Tetapi buku-buku seperti ini cuba digam, diharamkan atau disabotaj oleh pihak-pihak tertentu.

Ini yang berlaku kepada Pengurus Besar Syarikat Hewlett Packard, Minnesota di Amerika Syarikat iaitu Carly Florina, di dalam ucaptamanya ketika pelancaran produk syarikat komputernya, pada 26 September 2001, merakamkan pandangan ikhlas seperti berikut:

"at this civilisation was driven more than anything by invention. Its architect designed buildings that defied gravity. Its matematicians created the algebra and logarithms that would enable the building of computers, and the creation of encryption. Its doctors examined the human body, and found new cures for disease. Its astronomers looked into the heavens, named the stars, and paved the way for the travel and exploration.

While other nation were afraid of ideas, this civilisation thrived on them and kept them alive. When censors threated to wipe out knowledge from past civilisations, this civilisation kept the knowledge alive, and pass it on to others.

The civilisation I'm talking about was the Islamic World, from the year 800 to 1600 which included Ottoman Empire, and the court of Baghdad, Damascus and Cairo, and elightened rulers like Sulaiman the Magnificent"


maksudnya:

"Tamadun ini digerakkan menerusi penciptaan melebihi daripada yang lain. Arkiteknya mereka bangunan menentang graviti. Ahli matematiknya mengasaskan algebra dan logaritma yang membolehkan pembinaan komputer, dan penciptaan kod rahsia. Doktornya menyelidiki tubuh manusia lalu menemui ubat baru untuk penyakit. Ahli astronominya menyelidiki langit dan menamakan bintang-bintang, membuka kearah perjalanan dan pengembaraan. Sementara bangsa lain takutkan idea, tamadun ini terus ke hadapan memajukannya. Apabila halangan mengancam ilmu daripada tamadun silam, tamadun ini menghidupkan ilmu dan mengembangkannya kepada tamadun lain.

Tamadun yang saya maksudkan ialah tamadun Islam dari tahun 800 hingga 1600 yang merangkumi kerajaan Uthmaniyyah dan kerajaan Baghdad, Damsyik dan Kaherah serta pemimpin yang cemerlang seperti Sulaiman yang Agung"

Demikianlah seorang pengurus syarikat komputer yang terkenal, memberikan pendapat ikhlasnya dan meletakkan penghargaan yang begitu tinggi kepada tamadun Islam. Hanya orang yang berfikiran sempit sahaja yang berangan-angan mahu murtad dengan segera kerana menganggap Islam adalah agama kampungan, jumud, kolot dan ketinggalan zaman. Sedangkan orang-orang Barat yang berpendidikan tinggi secara peribadinya (walaupun mereka berusaha menyorokkan pendapat mereka) mengakui peranan Islam terhadap ketamadunan dunia. Namun masih ada segelintir dari mereka yang berani mengakuinya di khalayak ramai, walaupun selepas itu mereka dikenakan pelbagai tindakan dan hukuman.

Tidak lama selepas Carly Florina membuat ucaptama tersebut, beliau telah dipecat dari jawatannya...

Inilah Barat, masih angkuh, sombong dan tetap mahu mengubah sejarah...

<< SUKA INFO INI? KLIK LIKE DAN SHARE DI FACEBOOK >>

AMALAN MURAH REZEKI USTAZAH NOOR BAHYAH


Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat. Di antaranya:

1. Menyempatkan diri beribadah-Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:
"Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)

2. Memperbanyak istighfar-Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah , yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w.:
“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)

3. Tinggalkan perbuatan dosa-Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.:
“… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)

4. Sentiasa ingat Allah -Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya:
“(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d: 28)

5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa-Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda:
“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)
Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:
“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)

6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah-Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.:
“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)

7. Tunaikan hajat orang lain-Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.:
“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Riwayat Muslim)

8. Banyak berselawat-Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.

9. Buat kebajikan banyak-banyak -Ibnu Abbas berkata:
“Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”

10. Berpagi-pagi -Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.

11. Menjalin silaturrahim-Nabi s.a.w. bersabda:
“Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)

12. Melazimi kekal berwuduk-Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah . Baginda s.a.w. bersabda:
“Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)

13. Bersedekah-Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:
“Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)

14. Melazimi solat malam (tahajud)-Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah .

15. Melazimi solat Dhuha-Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)

16. Bersyukur kepada Allah -Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman:
“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7) Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)

17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu-Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.
Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya ‘Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.

18. Berdoa-Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah , penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya.  
Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.

19. Berikhtiar sehabisnya-Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. 
Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)
Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.

20. Bertawakal-Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah . Firman-Nya:
“Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan (keperluannya).” (At-Thalaq: 3)
Nabi s.a.w. bersabda:
“Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)
Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan), dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3)Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah , lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya

<< SUKA INFO INI? KLIK LIKE DAN SHARE DI FACEBOOK >>

ASAL USUL DAN MAKSUD PERKATAAN MACAI


Dulu Melayu Menentang, Kini Melayu Mempopularkan

Dahulu, orang Cina di negara ini menyedari bahawa perkataan "Macai" (馬仔) adalah pantang besar kepada orang Melayu. Ini kerana perkataan 'Ma' (馬) yang membawa maksud 'kuda', turut menjadi karekter yang digunakan dalam mengeja perkataan Melayu (Malai - 馬來) dan Malaysia (Malaixiya - (馬來西亞). Maka perkataan 'Ma' (馬) telah menjadi kependekan yang sinonim dengan Melayu atau Malaysia.

Sensitiviti ini lama kelamaan dilupakan oleh orang Melayu sendiri. Melayu mudah lupa. Tetapi orang Cina tidak melupakannya.

Ini diawali oleh sikap orang Melayu yang sesetengahnya tidak suka mendengar perkataan Malaicai (馬來仔) digunakan oleh orang Cina sesama mereka terutama di tempat kerja bagi merujuk kepada pekerja Melayu kerana orang Melayu ini lebih suka dirujuk dengan nama mereka.

Perkataan "Cai" (仔) mengikut lidah Kantonis pula membawa maksud 'si kecil, si muda , atau binatang yang muda'. Slang Kantonis juga menggunakan perkataan ini untuk memberi maksud budak lelaki atau anak lelaki.

Walaupun maksud "Macai" (馬仔) itu secara terjemahan terus boleh lah dimaksudkan 'budak yang diperkudakan', namun perkataan ini tidak wujud dalam kamus bahasa Cina di Tanah Besar China dan ia merupakan perkataan yang lahir di Tanah Melayu. Ia juga merupakan hasil kependekan kepada "Malaicai" yang disebut dengan bunyi "Macai".

Perkataan 'Macai' (馬仔) yang kita selalu dengar dan perkataan 'budak Melayu' (Malaicai - 馬來仔) yang kita tidak suka dengar dari mulut orang Cina, dilihat berkongsi karekter yang sama namun dibezakan dengan dengan perkataan 'Lai' (來) yang ditiadakan.

Apabila perkataan 'Ma' (馬) telah diketahui menjadi kependekan yang sinonim dengan Melayu atau Malaysia selain maksud asalnya yakni 'kuda' dan apabila tiada perkataan Macai (馬仔) wujud dalam kamus Cina di Tanah Besar Cina, jelas sekali perkataan ini berorientasikan maksud tempatan yakni dalam konteks perkaitannya dengan perkataan Melayu (Malai - 馬來) dan Malaysia (Malaixiya - (馬來西亞).

Maka, ringkasannya, perkataan "Macai" (馬仔) itu sendiri membawa dua erti yakni pada bahasa dan istilah. Dari segi bahasa, ialah membawa maksud 'budak yang diperkudakan' manakala dari segi istilah, ia membawa maksud 'budak Melayu'.Penggunaan perkataan ini di Malaysia tidak memisahkan kedua-dua maksud ini.

Hari ini, sangatlah memalukan apabila kita mendapati anak-anak Melayu 'memacai' sesama mereka sendiri tanpa mengetahui makna serta asal usul datangnya perkataan tersebut yang pada awalnya merupakan kata yang dianggap menghina bangsa mereka.

Padahal bangsa Cina di negara ini amat berhati-hati dalam menggunakan perkataan ini bimbang ia mengguris sensitiviti orang Melayu yang mengerti.

Untuk rekod, perkataan Macai di atas tiada kena mengena dengan ejensi nombor ramalan Damacai (大马彩) yang berbunyi 'Taimachoi' dalam Kantonis yang membawa maksud "Himpunan Besar Warna-Warni Kuda".

Perkataan kewujudan perkataan Cina ini juga tiada kena mengena dengan asal muasal perkataan "Pencacai" yang dipopularkan oleh P Ramlee dalam filem Tiga Abdul yang lebih kurang bermaksud kuli pengampu.

Perkataan pencacai mungkin bermaksud lebih kurang dengan macai. Tetapi perkataan macai membawa konotasi buruk terhadap bangsa Melayu sendiri apabila ia memberi peluang pihak lain tertawa dalam diam.

<< SUKA INFO INI? KLIK LIKE DAN SHARE DI FACEBOOK >>

Peristiwa Rusuhan Politik 13 MEI 1969


Pembangkang meraikan kemenangan

Peristiwa ini berlaku berikutan pengumuman keputusan Pilihanraya Umum pada 10 Mei 1969.

Dr. Tan Chee Khoon dari parti Gerakan telah menang besar di kawasan Batu, S'gor. Beliau minta kebenaran polis untuk berarak meraikan kemenangan parti tersebut di S'gor yang menyaksikan 50:50 di S'gor. Perarakan tersebut menyebabkan kesesakan jalan raya di sekitar KL. Perarakan hingga ke Jln Campbell dan Jln Hale dan menuju ke Kg Baru. Sedangkan di Kg Baru, diduduki lebih 30,000 orang Melayu yang menjadi kubu UMNO, berasa terancam dengan kemenangan pihak pembangkang. Di sini letaknya rumah Menteri Besar S'gor ketika itu, Dato' Harun Idris.

Dikatakan kaum Cina yang menang telah berarak dengan mengikat penyapu kepada kenderaan mereka sebagai lambang kemenangan mereka menyapu bersih kerusi sambil melaungkan slogan. Ada pula pendapat yang mengatakan penyapu tersebut sebagai lambang mereka akan menyapu ('menyingkir') orang Melayu ke laut. Dalam masyarakat Melayu, penyapu mempunyai maksud yang negatif. Ada yang mencaci dan meludah dari atas lori ke arah orang Melayu di tepi jln.

Perarakan kematian Cina
Akibat daripada rusuhan maut tersebut, kesesakan jalanraya turut berlaku.

Di Jinjang, Kepong, kematian seorang Cina akibat sakit tua diarak sepanjang jalan dengan kebenaran polis. Namun perarakan kematian bertukar menjadi perarakan kemenangan pilihan raya dengan menghina Melayu.

Pada hari Selasa 13 Mei, Yeoh Tech Chye selaku Presiden Gerakan memohon maaf di atas ketelanjuran ahlinya melakukan kebiadapan semasa perarakan. Yeoh menang besar di kawasan Bukit Bintang, KL. Tapi permohonan maaf sudah terlambat.

Rumah Menteri Besar S'gor
UMNO telah mengadakan perarakan balas pada pagi 13 Mei 1969 yang mengakibatkan terjadinya peristiwa ini. Hal ini adalah kerana perasaan emosi yang tinggi dan kurangnya kawalan dari kedua pihak. Perarakan ini tidak dirancang.

Orang Melayu berkumpul di rumah Menteri Besar S'gor di Jln Raja Muda Abdul Aziz di Kg Baru, KL. Dato' Harun Idris selaku Menteri Besar S'gor ketika itu cuba mententeramkan keadaan. Rupa-rupanya, mereka yang berkumpul telah membawa senjata pedang dan parang panjang dan hanya menunggu isyarat lampu hijau dr Dato' Harun Idris untuk mengamuk.

Ketika berkumpul, cerita-cerita tentang kebiadapan ahli parti Gerakan tersebar dan meluap-luap. Jam 3 petang datang berita kejadian pembunuhan orang Melayu di Setapak, hanya dua km dari rumah Menteri Besar S'gor.

4.00 petang 2 penunggang motosikal Cina yang melalui Jalan Kg Baru telah dipancung. Sebuah van membawa rokok dibakar dan pemandunya dibunuh. Pemuda-pemuda Cina yang dikatakan dari PKM dan kongsi-kongsi gelap telah bertindak balas. Mereka membunuh orang-orang Melayu di sekitar KL. Rupa-rupanya orang Cina dan pemuda Cina ini lengkap dengan pelbagai senjata besi, tombak dan lembing berparang di hujung seperti dalam filem lama Cina.

Rusuhan besar terjadi. Perintah darurat dikeluarkan, semua orang tidak dibenarkan keluar dari rumah. Pasukan polis berkawal di sekitar KL. Tentera dari Rejimen Renjer lebih awal dikerahkan menjaga keselamatan sekitar KL.


Rejimen Renjer
Anggota FRU semasa rusuhan 13 Mei berlaku.

Pasukan FRU dikeluarkan dari Kg Baru dan askar dari Rejimen Renjer ambil alih. Malangnya pasukan ini terdiri dari orang-orang Melayu, Iban, Cina, India, Sikh, Gurkha dan lain-lain turut menembak orang Melayu dan ini menyebabkan kemarahan orang Melayu semakin meluap-luap. Menurut laporan, ketua pasukan Rejimen Renjer dikatakan berbangsa Cina.

Pemuda-pemuda Melayu yang mempertahankan Kg Baru dan yang lain-lain mengamuk merasakan diri mereka terkepung antara orang Cina dengan askar Rejimen Renjer. Beberapa das turut ditujukan ke arah rumah Menteri Besar S'gor.

Askar Melayu

Akhirnya Rejimen Renjer dikeluarkan dan digantikan dengan Askar Melayu. Beberapa bangunan rumah kedai di sekitar Kg Baru, Jalan Tuanku Abdul Rahman masih terus terbakar. Pentadbiran diambil-alih oleh Askar Melayu. Malangnya beberapa askar Askar Melayu turut masuk ke kedai-kedai emas Cina dan mengambil harta benda di sana. Ada yang berkata askar tersebut berpakaian preman.

Ramai orang Cina dibunuh dan dicampakkan ke dalam lombong bijih timah. Konon ada rakaman televisyen, beberapa pemuda Cina ditangkap, dibariskan di tepi lombong dan dibunuh. Bagaimanapun, sehingga sekarang, tiada bukti yang sahih mengenai rakaman ini.

Panggung Odeon

Pemuda-pemuda Cina dari kongsi gelap telah bertindak mengepung Panggung Odeon, di Jalan Tuanku Abdul Rahman, KL. Beberapa iklan disiarkan dalam bahasa Cina di skrin pawagam menyuruh penonton dari kalangan Cina keluar dari panggung. Penonton Melayu di panggung tersebut ramai yang mati. Ini termasuklah 2 orang Askar Melayu yang tinggal di Sungai Ramal, Kajang.

Seorang polis bernama Rahim yang tinggal di KL yang turut menonton wayang di Odeon terkena tetakan di kepala dan berpura2 mati. Beliau masih hidup hingga skrg. Akibat daripada tindakan sebegini, orang-orang Melayu mulai bertindak balas, dan dikatakan kepala orang Cina yang dibunuh diletakkan di atas pagar .

Abdul Rafai Alias bersama rakan-rakannya dari Semenyih yang datang ke KL turut terperangkap dan terkejut dengan rusuhan kaum yang tidak disangka pada 13 Mei itu. Beliau turut melangkah mayat mereka yang telah terbunuh di atas jalan.

Khabar angin mengatakan Tentera Sabil dari Sungai Manik hendak datang ke Kg Baru tetapi tersekat. Begitu juga dengan Tentera Selempang Merah dari Muar dan Batu Pahat tersekat dan disekat oleh polis di Balai Polis Kajang dan Cheras.

Ada 4 kiai di sekitar Kg Baru mengedarkan air jampi dan tangkal penebat, iaitu ilmu kebal dengan harga yang mahal . Sesiapa yang memakainya menjadi kebal dan boleh terbang. Apa yang pasti, Askar Melayu juga telah menyelamatkan orang Melayu di Kg Baru ketika itu. Mungin juga ramai yang pernah mendengar kisah parang terbang yang terbang dan memenggal kepala orang Cina.

Namun rusuhan kaum tidak terjadi di Kelantan, Terengganu dan Pahang. Di Perak, Kedah, Pulau Pinang serta Perlis tidak ada sebarang pergaduhan. Negeri Johor dan Negeri Sembilan juga tidak terjadi apa-apa. Cuma ada sedikit di Melaka. Di Betong ada tembakan oleh PKM.

Ada yang menyifatkan bahawa pergaduhan ini sebenarnya adalah pergaduhan "politik" dan bukanya perkauman. Kerana sebelum itu masyarakat melayu dan cina boleh hidup dalam keadaan yang harmoni. Seperti dinyatakan pergaduhan tidak berlaku di negeri melayu kelantan, pahang dan kedah. Jika ia merupakan isu perkauman, pastinya hari ini tiada lagi orang cina di negeri tersebut kerana habis di bunuh oleh orang melayu.

Kesimpulanya, pergaduhan ini bukanlah rusuhan perkauman, kerana ia hanya terjadi selepas pilihanyaraya dan hanya melibatkan orang melayu dan cina di KL sahaja.

Angka korban
Polis dan tentera sedang mengawal Panggung Odeon yang menjadi sasaran rusuhan.

Angka rasmi menunjukkan 196 mati, 439 cedera, 39 hilang dan 9,143 ditahan. 211 kenderaan musnah. Tapi ramai telah menganggar ramai lagi dibunuh. Sebuah thesis PhD. daripada Universiti California, Berkeley menganggar seramai 2,000 orang hilang nyawa dalam peristiwa 13 Mei.

Di mana Tunku

Ketika itu (13 Mei 1969), Tunku Abdul Rahman baru pulang dari Alor Star meraikan kemenangan beliau di sana.

6.45 petang Encik Mansor selaku Ketua Polis Trafik KL memaklumkan kejadian pembunuhan kepada Tunku Abdul Rahman. Darurat diisytiharkan pada jam 7.00 malam 13 Mei 1969. Ada khabar angin mengatakan Tunku sedang bermain mahjung. Dalam tulisannya, Tunku menafikan hal tersebut.

Mageran

Negara diisytiharkan darurat pada malam 16 Mei 1969 di seluruh negara dan Mageran dibentuk di bawah pentadbiran Tun Abdul Razak. Parlimen dibubarkan.

Peristiwa 13 Mei 1969 menyebabkan Tunku Abdul Rahman dipersalahkan oleh org Melayu dan Malaysia secara keseluruhannya. Berikutan itu Tunku meletakkan jawatan pada tahun 1970. Buku "Dilema Melayu" ("Malay Dilemma") oleh Tun Dr Mahathir telah diharamkan. Dikatakan gandingan Tun Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim memburukkan Tunku Abdul Rahman.

Keadaan akhirnya dapat dikawal dan beberapa keputusan telah diambil bagi mencari jalan penyelesaian termasuklah penubuhan beberapa badan seperti Majlis Perundingan Negara, Dasar Ekonomi Baru dan Rukun Negara telah diciptakan.

Ternyata langkah Tunku Abdul Rahman penyingkiran Singapura dari Malaysia tidak menyelesaikan masalah perkauman. Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan kemuncak kemarahan lama orang Melayu kerana mereka miskin di tanah air mereka sendiri.

Tahun 1969 pilihan raya diadakan semula dan memberi kemenangan 2/3 semula kepada kerajaan yang memerintah. Barisan Nasional dibentuk. Wilayah Persekutuan KL dibentuk bagi mengurangkan pengundi Cina dalam DUN Sgor. Beberapa ahli politik yang dianggap berbahaya telah ditahan melalui Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Persempadanan pilihan raya yang lebih bijaksana dan seimbang telah dilaksanakan. Sistem demokrasi, pilihan raya dan agihan kek ekonomi (hak-hak keistimewaan bumiputera) mendpt tafsiran semula.




<< SUKA INFO INI? KLIK LIKE DAN SHARE DI FACEBOOK >>

Sejarah Negara Iran


Sejarah Awal Iran meliputi negara Iran dan juga negara-negara jirannya yang mempunyai persamaan dalam kebudayaan dan bahasa Parsi. Ketika itu, negara-negara ini diperintah oleh empayar-empayar Parsi seperti Medes dan Achaemenid. Sassanid pula adalah empayar Parsi terakhir sebelum kedatangan Islam. Kemudiannya Parsi bergabung menjadi sebahagian daripada empayar Islam awal. Sejarah Iran khusus pula dimulakan dengan dinasti Zand pada kurun ke 16.

Senarai kandungan
1 Empayar Parsi
2 Kedatangan Islam
3 Zaman Pertengahan
4 Zaman Moden
5 Perang Dunia
6 Revolusi Islam
7 Perang Iran Iraq

Empayar Parsi
Rencana utama: Empayar Parsi

Empayar Achaemenid ketika kemuncak.Kerajaan lama Iran dikenali sebagai Empayar Parsi atau Parsi sehinggalah pada tahun 1935 dimana Shah Reza mengumumkan nama tempatan Parsi iaitu Iran. Nama Parsi ini diambil dari perkataan Yunani: Persis. Orang Parsi pula menamakan tamadun mereka Iran atau Iranshahr sejak zaman Sassanid.

Nama Parsi ini sebenarnya diambil daripada Fars atau Pars (dalam Bahasa Parsi). Menerusi bahasa Greek, negara-negara Eropah menamakan Iran sebagai Parsi. Ini kerana rantau Iran dan negara-negara sekitarnya adalah teras kepada tamadun dan empayar-empayar lama Parsi. Nama Iran mula digunakan pada tahun 1935 apabila Shah Reza Pahlavi raja Iran meminta agar masyarakat antara bangsa menggunakan istilah Iran. Istilah ini bermaksud Bumi Arya.

Empayar Parsi terdiri daripada beberapa dinasti dimulai dengan Dinasti Achaemenid yang merupakan empayar Parsi asli. Kerajaan ini diasaskan oleh Cyrus Agung yang dimana beliau berjaya menyatukan kerajaan kecil dan suku-suku di penara Iran. Sassanid pula adalah empayar Parsi terakhir sebelum kedatangan Islam. Parsi kemudiannya ditawan oleh bangsa Arab diikuti dengan Turki (Tentera Seljuk), Mongol, Inggeris dan Rusia. Disebalik penawanan ini, etnik Parsi berjaya mempertahankan kebudayaan, bahasa dan identiti mereka.

Kedatangan Islam
Selepas kekalahan Sassanid ke tangan tentera Islam, Parsi kemudiannya diperintah oleh khalifah Umayyah dan Abbasiyah. Ketika pemerintahan Abbasiyah, orang Parsi memainkan peranan yang penting dalam menyumbang kepada kegemilangan Islam.

Selepas pemerintahan Abbasiyah, Parsi mula mencapai kemerdekaan mereka dengan mendirikan sebuah dinasti dimulai dengan dinasti Tahiriyah dan disusuli dengan Saffariyah….. Ziyariyah dan Samaniyah. Dinasti-dinasti ini mula menawan semula wilayah-wilayah Parsi dari tangan Abbasiyah. Ketika zaman Buwaihiyah, Parsi berjaya menawan kesemua wilayah mereka dan juga kota Baghdad dan memenjarakan khalifah Abbasiyah. Raja Buwaihiyah pula mula memakai semula gelaran Shah yang merupakan warisan Sassanid.[1]

Zaman Pertengahan
Dinasti-dinasti yang memerintah Parsi selepas ini adalah keturunan bangsa Turki dari Asia Tengah. Pada mulanya, mereka ini hanyalah tentera hamba ketika zaman Abbasiyah. Namun begitu, mereka menguasai pentadbiran empayar Abbasiyah berikutan kelemahan khalifahnya. Setelah kejatuhan Abbasiyah, kerajaan-kerajaan kecil mula naik di seluruh Iran. Antara yang utama ialah Tahiri dari Khorasan (820-872), Saffari di Sistan (867-903), dan Samani di Bukhara (875-1005). Pada 962, seorang pegawai tentera hamba Samanid, Aluptigin, menawan Ghazna dan menubuhkan wangsa Ghaznavi.

Parsi kemudiannya diserang dan ditawan oleh tentera Turki Uthmaniyah iaitu tentera Seljuk Oghuz dari Amu Darya. Ketua mereka Tughril Beg kemudiannya dianugerahi sebuah jubah, hadiah dan juga gelaran Raja di Timur. Ketika Iran dibawah pemerintahan Shah Malik (pengganti Tughril) (1072–1092), Iran menyaksikan penyuburan semula kebudayaan dan kegemilangan sains mereka dan ini merupakan jasa wazir Shah Malik iaitu Nizam al Mulk. Ketika zaman ini juga, sebuah balai cerap dibina dimana Omar Khayyám, seorang ahli astrologi membuat eksperimen kalender baru. Selain itu, sekolah-sekolah agama turut dibina di bandar-bandar utama. Abu Hamid Ghazali, seorang pakar teologi Islam, dan juga beberapa cendiakawan-cendiakawan Islam di Baghdad turut dijemput meneruskan penyelidikan mereka di Iran.

Selepas kematian Shah Malik, Iran kemudiannya berpecah semula kepada kerajaan-kerajaan kecil. Ketika waktu inilah Genghis Khan dari Mongolia menceroboh Parsi dan memusnahkan kota-kotanya. Sebelum kewafatan beliau, tentera Mongol telah pun menawan Azarbaijan dan memusnahkan kota itu.

Pencerobohan ini menyebabkan kemusnahan yang besar bagi rakyat Iran. Sistem pengairan dimusnahkan menyebabkan beberapa penempatan terpaksa diubah semula. Mereka terpaksa mencari wahah sebagai sumber air. Sebahagian besar penduduk Iran pula, terutamanya lelaki dibunuh dan populasi Iran jatuh dengan mendadaknya. Pemerintah mongol pula hanya berbuat sedikit sahaja untuk memperbaiki Iran. Cucu Genghis, Hulagu Khan, menawan Baghdad pada tahun 1258 dan membunuh khalifah terakhir Abbasiyah. Kemaraan beliau di timur tengah disekat oleh tentera Mamluk (dari Mesir) di Palestin. Hulagu Khan kemudiannya kembali semula ke Iran dan menetap di Azerbaijan sehinggalah kewafatan beliau.

Pemerintah Mongol selepas ini, Ghazan Khan (1295-1304) dan juga wazir beliau Rashid ad Din memulihkan semula ekonomi Iran. Cukai untuk artisan direndahkan, pertanian digalakkan, membina semula sisten pengairan dan memperbaiki keselamatan laluan perdagangan. Hasilnya, perdagangan meningkat dengan pantasnya dan barangan dari India dan China dapat dibawa masuk ke Iran dengan senang. Ghazan kemudiannya diganti oleh anak saudara beliau Abu Said dan selepas kewafatan Abu Said, Iran sekali lagi berpecah kepada beberapa dinasti-dinasti kecil seperti Salghuri, Muzaffari, Inju, dan Jalayiri

Tinggalan tentera Mongolia dibawah pimpinan Tamerlane, seorang Mongol yang berbangsa Turki, kemudiannya menceroboh dan menawan Parsi. Beliau menawan Transoxiana dan menjadi raja di sana. Tidak seperti Genghis Khan, serangan Tamerlane berlaku dengan perlahannya dan tidak membawa banyak kerosakan. Ini kerana tentera beliau tidak sebesar tentera Genghis Khan. Namun begitu, Isfahan dan Shiraz tetap mengalami kemusnahan yang teruk. Selepas kematian beliau, empayar ini berpecah dengan pantasnya tetapi puak-puak mongolia iaitu Uzbek dan Bayundur Turkmen masih lagi memerintah kawasan Iran sehinggalah naiknya empayar Safavid.

Zaman Moden

Parsi pada tahun 1808.Ketika zaman Safavid (1502-1736), kebudayaan Parsi mula berkembang semula terutamanya ketika zaman Shah Abbas I. Sesetengah sejarahwan berpendapat bahawa negara Iran moden diasaskan oleh Wangsa Safavid. Banyak kebudayaan-kebudayaan Iran pada hari ini berasal dari zaman pemerintahan Safavid termasuklah pengenalan Islam Shia di Iran.

Selepas era Safavid, Iran kemudiannya diperintah oleh Wangsa Zand, Qajar dan akhirnya Pahlavi. Pada kurun ke-17, negara-negara Eropah mula menerokai Iran dan menapakkan pengaruh mereka di sana. Kesannya Iran mula kehilangan beberapa wilayahnya kepada negara-negara ini menerusi beberapa perjanjian perdamaian seperti perjanjian Turkmanchai dan perjanjian Gulistan.

Pada lewat kurun ke 19, Iran memasuki sebuah era baru ketika terjadinya Revolusi Perlembagaan Iran. Ianya merupakan sebuah revolusi yang memperkenalkan sistem raja berpelembagaan, sebuah sistem pemerintahan moden. Tetapi Shah Iran atau raja Iran masih berjaya mempertahankan kuasa mereka. Sebuah parlimen yang dinamai Majles ditubuhkan pada 7 Oktober, 1906.

Penemuan minyak mentah di wilayah Khuzestan menarik minat Inggeris dan Rusia untuk meluaskan pengaruh mereka di Iran. Kedua-dua kuasa ini bersaing untuk memonopoli minyak Iran dan akhirnya memecah belahkan Iran. Disebabkan kelemahan kerajaan Iran ketika itu (kerajaan Qajar,) menangani kuasa-kuasa ini, maka terjadilah pemberontakan oleh Reza Pahlavi yang dimana beliau berjaya menobatkan dirinya sendiri menjadi Shah Iran yang baru dan mengasaskan Dinasti Pahlavi

Perang Dunia
Ketika Perang Dunia Pertama, Iran terletak dibawah pengaruh Inggeris dan Rusia walaupun polisi kerajaannya adalah neutral. Pada tahun 1919, Inggeris cuba menjadikan Iran sebagai negeri naungan mereka tetapi rencana terbantut apabila Shah Reza menggulingkan Kerajaan Qajar dan menubuhkan Dinasti Pahlavi. Shah Reza Pahlavi memerintah Iran selama 16 tahun dan memulakan proses permodenan Iran serta menubuhkan kerajaan sekular baru.

Sejak penemuan minyak, Iran menjadi sumber bekalan minyak utama kepada negara-negara bersekutu. Ketika Perang Dunia Kedua, tentera bersekutu meminta agar Shah Reza menghalau keluar ahli teknikal Jerman tetapi permintaan ini ditolak beliau. Maka, tentera bersekutu melancarkan serangan ke atas Iran dan menyingkirkan Shah Reza dan melantik putera beliau, Shah Mohammad Reza menjadi pengganti Shah Iran. Namun begitu, Shah Mohammad hanyalah boneka Inggeris dalam pentadbiran Iran dan pemerintahan beliau bersifat autokratik dan dibenci rakyat Iran.

Revolusi Islam
Rencana utama: Revolusi Islam
Setelah berbulan lamanya protes dilancarkan terhadap pemerintahan kuku besi Shah Mohammad, pada 16 Januari, 1979 beliau terpaksa melarikan diri ke Mesir sekaligus menamatkan dinasti Pahlavi. Selepas itu, Iran terlibat dalam kancah domestik yang menyaksikan pertelingkahan antara penyokong revolusi Iran dan penyokong kerajaan sementara warisan Shah Mohammad yang dikepalai Dr. Shapour Bakhtiar. Apabila kembalinya Ayatollah Khomeini, pengasas revolusi Iran, beliau melantik Mehdi Bazargan sebagai perdana menteri baru Iran. Ini menyaksikan Iran terbahagi kepada dua, kerajaan revolusi dan kerajaan sementara Iran. Namun begitu, kerajaan sementara Iran kalah dalam persaingan merebut kuasa apabila pihak ketenteraan Iran mengisytiharkan neutral. Setelah itu, pungutan suara dibuat untuk menubuhkan sebuah kerajaan baru. Keputusannya, 98% rakyat Iran menyokong idea ini dan akhirnya terbentuklah Republik Islam Iran

Perang Iran Iraq
Rencana utama: Perang Iran Iraq
Pada 22 September 1980, Iraq mencerobohi Iran bagi menawan wilayah-wilayah yang dituntut Iraq. Pada mulanya, tentera Iraq berjaya mara ke wilayah-wilayah Iran tetapi mereka kemudiannya berjaya disekat oleh tentera Iran dan akhirnya perang ini menjadi Perang Perlumpuhan dimana kedua-dua belah pihak cuba melumpuhkan lawannya dengan serangan berterusan tanpa henti. Iran walau bagaimanapun berjaya menawan semula wilayah-wilayah mereka. Peperangan ini berterusan sehingga 20 Ogos 1988 manakala tawanan perang terakhir berjaya dibawa pulang semula pada tahun 2003.

Peperangan ini menyaksikan penggunaan senjata kimia oleh tentera Iraq menyebabkan ramai tentera dan penduduk awam Iran terkorban. Jumlah korbannya dianggarkan setengah juta hingga satu juta dan menjadikan Iran mangsa korban senjata kimia kedua terbesar dalam sejarah manusia (selepas Jepun).


<< SUKA INFO INI? KLIK LIKE DAN SHARE DI FACEBOOK >>