Kod - Kod Sulit Yang Gagal Dipecahkan

Beberapa kod sulit yang terdiri daripada beberapa abjad sehingga ada yang mempunyai beberapa muka surat telah menjadi bahan kajian ahli cipher(ahli pemecah kod rahsia) daripada seluruh dunia. Kod-kod tersebut gagal dipecahkan dan ia menjadi misteri sehingga ke hari ini.


Kod cipher amat berguna semasa dua Perang Dunia pada awal abad ke-20. Kod rahsia ini menjadi tali hayat kepada dua pihak bertelagah untuk menyampaikan sesuatu maklumat tanpa dapat dikesan musuh. Samada Jepun, Jerman, Britain mahupun Amerika Syarikat, masing-masing mempunyai ahli cipher yang terlatih. Mereka ini bertanggungjawab untuk pecahkan kod yang telah dipintas dan pada masa yang sama mencipta sejenis kod yang sukar dipecahkan oleh musuh mereka.


Mesin Enigma yang dicipta Jerman untuk memecahkan kod rahsia musuh. Digunakan secara komersial semasa WW2.


Sehingga ke hari, kod-kod rahsia ini digunakan oleh kebanyakan agensi perisik daripada seluruh dunia. Mossad, CIA, MI6 dan sebagainya, mereka berkomunikasi dengan cara unik yang mana hanya mereka sahaja yang mengetahuinya.

Kecanggihan kod sulit pada hari ini walaubagaimanapun gagal memecahkan beberapa kod dan tulisan yang telah tersenarai sepertimana di bawah.



Phaistos Disk

Cakera Phaistos ditemui buat pertama kali pada tahun 1908 oleh seorang ahli arkeologi berbangsa Itali, Luigi Pernier di Pulau Crete, Greece. Cakera Phaistos mengandungi 241 token yang mana masing-masing mempunyai 45 simbol berbeza. Simbol-simbol tersebut adalah simbol yang lazim ditemui hari ini seperti ‘lelaki berjalan kaki’, ‘lelaki kepala botak’,’perisai’, ‘anak panah’ dan sebagainya.

Cakera ini bersaiz lebih kurang 15cm dan simbol-simbol tersebut mengelilingi cakera tersebut dalam bentuk bulatan. Simbol-simbol pada Phaistos Disk sehingga ke hari ini tidak diketahui maksud dan tujuan ia dibuat. Para saintis bertungkus-lumus memecahkan kod dengan membandingkan higrolif daripada Mesir purba dan Anatolia. Namun tetap juga gagal. Simbol yang terdapat pada Phaistos Disk begitu sukar dipecahkan sehingga beberapa saintis menganggap ia adalah hoax.

Walaubagaimanapun, ramai menafikan ia adalah hoax kerana hasil pentarikhan karbon menunjukkan ia berusia antara 1700 sehingga 1600 sebelum masihi.
Linear A

Tamadun Minoan di Pulau Crete dipercayai terhapus sekitar tahun 2000 sehingga 1200 sebelum masihi. Tinggalan tamadun ini boleh dilihat di Pulau Crete di Greece. Antara tinggalan yang masih menjadi perdebatan selain daripada Phaistos Disk adalah inskripsi yang digelar Linear A.

Ia ditemui hampir bersama-sama Linear B. Pada 1952, Micheal Ventris berjaya menterjemahkan Linear B namun gagal berbuat demikian untuk Linear A. Linear A mengandungi inkripsi dan simbol yang unik yang mana 50 simbol adalah sama dengan yang terdapat pada Linear B. Lain-lain simbol dan tulisan pada Linear A yang berjumlah hampir ratusan itu adalah unik sehingga sukar diterjemahkan.

Saintis mendakwa Linear A adalah tulisan awal sebelum berevolusi menjadi tulisan pada Linear B. Linear A dipengaruhi oleh Hiroglif Crete yang berusia lebih daripada 1600 sebelum masihi. Gelaran ‘linear’ diberi oleh Arthur Evan kerana bentuknya yang bergaris dan linear berbanding inskripsi lain yang berbentuk tiga dimesi(simbol makhluk).


Kryptos

Kryptos adalah sebuah tugu yang dibina oleh pakar ukir berbangsa Amerika Syarikat, James Sunborn. Tugu Kryptos terletak betul-betul di hadapan pejabat CIA di Langley, Virginia, Amerika Syarikat. Tugu unik ini dibina pada 3 November 1990 dan selepas daripada itu tugu ini terus menjadi perdebatan di seluruh dunia.

Tugu ini mengandungi 869 karakter yang dipercayai mempunyai maksud tersirat. Pada tahun 1999, James Gillogly, seorang jurutera komputer telah memecahkan kod tiga daripada empat rangkap pada tugu Kryptos. Jumlah kesemuanya adalah 768 karakter dan ia masih tersisa 97 karakter.

Tugu Kryptos yang didirikan di hadapan pejabat CIA adalah metafora misteri tersirat dan penuh rahsia CIA dalam menjalankan tugas untuk negaranya, Amerika Syarikat.


Kod Rahsia pada Chinese Gold Bar

Bar Emas yang seberat 1.8 kg mempamerkan imej-imej dan simbol yang langsung tidak difahami. Bar emas ini kononnya dikeluarkan oleh seorang jeneral daripada Tanah Besar China iaitu Jeneral Wang pada tahun 1933 untuk didepositkan kepada bank di Amerika Syarikat.

Skrip dan kod tersebut sangat aneh dan sehingga ke hari ini tiada siapa mampu menyelesaikan masalah tersebut. Transaksi yang dikatakan berjumlah $300,000,000.00 masih lagi menjadi misteri.


Beale Ciphers

Beale Cipher adalah tiga mesej yang ditulis oleh seorang yang bernama Thomas Jefferson Beale. Kononnya, Beale telah menanam dua gerabak penuh harta di satu lokasi rahsia di sekitar Bedford County, Amerika Syarikat pada 1820. Sebuah mesej telah dipecahkan namun baki dua lagi belum dapat dipecahkan. Baki dua mesej dipercayai mengandungi mesej yang terperinci iaitu kandungan emas, perak dan permata yang dikebumikan beliau. Dipercayai bahawa harta karun yang ditanam oleh Beale kesemuanya berjumlah USD$ 50 juta.

Sehingga ke hari pelbagai usaha dilakukan untuk memecahkan baki dua mesej namun tetap gagal. Tidak kurang daripad mereka mengatakan bahawa ia adalah hoax dan hasil usaha Beale untuk memperdayakan orang ramai.



Voynich Manuscript

Voynish Manuscript adalah naskah paling misteri yang pernah ada di dunia. Dipercayai ditulis pada abad ke 15 atau ke-16, naskah ini mempunyai 240 halaman yang dipenuhi dengan tulisan dan lukisan pelbagai jenis tumbuhan herba. Diberi nama Voynish Manuscript kerana seorang yang bernama Wifrid Voynish membeli naskah misteri ini pada 1912.

Voynish Manuscript pernah menarik minat kriptografer daripada Britain dan Amerika Syarikat pada Perang Dunia Kedua. Terkenal dengan kehebatan memecahkan pelbagai kod rahsia Jepun dan Jerman semasa Perang Dunia Kedua, namun mereka tetap gagal memecahkan rahsia tersembunyi di dalam Voynish Manuscipt.

Hari ini, naskah ini didermakan kepada University of Yale dan diletakkan di perpustakaan tersebut dengan kod MS 408 di dalam kategori Naskah Cipher.
Dorabella Cipher

The Dorabella Cipher adalah sepucuk surat yang ditulis oleh composer yang bernama Edward Elgar kepada Miss Dora Penny pada 14 Julai 1897. Namun, surat tersebut bukan sahaja tidak difahami Penny malahan seluruh masyarakat dunia sehingga ke hari ini tertanya-tanya apakah isi kandungan surat tersebut.

Surat tersebut terdiri daripada 87 karakter dan mempunyai tiga baris. Daripada terdiri daripada 24 abjad yang masing-masing mempunyai bentuk berpilin.

Usaha untuk menterjemahkan surat ini pernah dilakukan oleh seorang ahli muzik bernama Eric Sam pada tahun 1970 dan Richard Henderson pada tahun 2011. Namun, usaha mereka tidak memuaskan dan surat ini masih lagi gagal difahami sehingga ke hari ini.



Taman Shud

Kes Taman Shud mungkin antara kes paling misteri di dunia. Seorang lelaki tanpa kad pengenalan ditemui mati di pantai Somerton di Adelaide, Australia pada pagi 1 Disember 1948. Lelaki itu ditemui memakai baju sejuk(sweater) dan mantel miskipun pada waktu tersebut musim panas. Bersama-sama lelaki tersebut terdapat secebis kertas daripada buku tulisan Omar Khayyam iaitu Rubaiyat dan dibelakangnya tertulis seakan-akan rangkap kod sulit. Misteri lelaki yang digelar Somerton Man tersebut berterusan sehingga memaksa Scotland Yard terbang ke Australia untuk menyiasat sendiri kes tersebut.
Misteri Kes Taman Shud mendapat liputan meluas dan sehingga ke hari ini kes tersebut gagal diselesaikan. Kod rahsia milik Somerton Man turut sama gagal dipecahkan

Shugborough Inscription

Shugborough Inscription adalah ukiran tulisan yang diacah pada tugu batu di bawah imej cermin lukisan Nicholas Poussin di Shepherds Arcadia berhampiran Shugborough Hall di Staffordshire, England.

Ramai pengkaji mendakwa bahawa Poussin adalah salah seorang daripada ahli organisasi rahsia, Priory of Zion. Ukiran yang mempunyai abjad O-U-O-S-V-A-V-V dikatakan memberi pembayang kepada tempat simpanan Holy Grail yang dikatakan milik Jesus Christ.

Sepertimana lain-lain cipher, kod tersebut cuba dipecah namun tetap gagal. Antara yang cuba untuk memecahkan kod tersebut adalah Morchard Bishop pada 1950, A.J. Morton pada awal abad ke-19 dan Steve Regimbal.




LIKE FACEBOOK PAGE KAMI UNTUK UPDATE LEBIH PANTAS

<< SUKA INFO INI? KLIK LIKE DAN SHARE DI FACEBOOK >>