Menurut Wahab bin Munabbih, Jin berasal dari keturunan Jan. Adapun penciptaan Jan amat besar kejadiannya dan ia dinamakan Jan seperti firman Allah Ta'ala di dalam al-Quran, Surah ar-Rahman : 15 yang bermaksud: "Telah dijadikan Allah Ta'ala akan Jan itu daripada lidah api yang bernyala-nyala tiada berasap". Kemudian, Allah menciptakan seorang isteri buat Jan yang diberi nama Umm Naldam. Sesetengah riwayat mengatakan namanya Madihah dan gelarannya Umm Taldam. Maka Jan dan isterinya diberi tempat tinggal di bumi.
Daripada persetubuhan Jan dengan isterinya, maka lahirlah seorang anak lelaki yang diberi nama JIN dan dari keturunannya lah digelar sebagai Banul Jan. Menurut riwayat, Allah menjadikan mereka bayang-bayang pada rupanya dan mereka boleh merubah rupa mengikut apa yang dikehendaki oleh mereka seperti menjadi binatang liar, binatang jinak, binatang melata atau lain-lainnya. Setelah bumi hampir penuh dengan anak keturunan Jin, Allah pun memerintahkan mereka supaya tinggal di langit yang pertama.
Allah pun memerintahkan mereka agar berbuat ibadah dan jangan sesekali membuat kemungkaran. Beberapa lama mereka di atas langit, mereka pun menilik bumi dan sesetengah turun ke bumi. Mereka melihat dalam bumi ada berbagai jenis binatang buas dan berbagai jenis unggas-unggas. Maka mereka memohon kepada Allah: "Wahai Tuhan kami, turunkan lah kami ke bumi". Permintaan mereka diperkenankan oleh Allah lalu Allah pun berfirman: "Wahai segala Jin, turunlah kamu semua ke bumi, serta berbuat ibadah dan janganlah kamu semua derhaka kepada Aku".
Setelah membuat akuan janji, sebahagian besar mereka turun ke bumi dan sebahagian lagi di langit pertama. Adapun menurut setengah riwayat, seramai 7,000 pasukan turun ke bumi. Di bumi, mereka beribadah kepada Allah dengan sebenar-benar ibadah. Mereka membina tamadun dan negara-negara bagi menentukan wilayah yang mereka kuasai. Begitu juga kaum Jin yang berada di langit pertama, mereka membina beberapa buah kerajaan bagi mengukuhkan kedudukan sesuatu kaum. Menurut riwayat terdapat 8 buah kerajaan yang wujud merangkumi langit dan bumi. Beberapa lama kemudian, mereka berbuat derhaka kepada Allah dan membunuh sesama sendiri. Maka Allah pun mengutuskan para Nabi daripada kalangan mereka seramai 28,000 orang dalam tempoh masa selama 2,800 tahun. Setiap utusan Nabi Allah mereka lawan dan perangi.
Oleh kerana kemungkaran yang mereka lakukan, Allah memerintahkan tentera Malaikat menyerang dan membinasakan mereka. Sebahagian daripadanya di halau ke suatu tempat di penjuru dunia. Daripada banyak suku-suku Banul Jan yang dibinasakan oleh tentera Malaikat akibat kemungkaran yang dilakukan mereka, terdapat beberapa bayi yang diselamatkan oleh para Malaikat dan dibawa ke hadrat Allah. Salah satu daripadanya bernama 'Azazil yang kini digelar Iblis.
Menurut ad-Dhihak, tatkala ia dibawa oleh para Malaikat, ia belum mempunyai nama. Apabila pencapaiannya pada martabat Malaikat yang amnya, ia dipanggil dengan nama Arsatata'il dan ketika ia beroleh martabat Malaikat yang khas, ia dipanggil dengan nama Izra'il dan apabila ia mencapai martabat tertinggi Malaikat ia dipanggil dengan nama 'Azaz'il dan ketika ia engkar dengan perintah Allah, ia dipanggil dengan nama Iblis dan segala kebesaran yang dimilikinya dilucutkan dan dihalau keluar dari sisi Allah.
Dalam suatu riwayat, segala keturunan Jin terlalu banyak kaumnya dan berlainan mazhabnya. Ada di antara mereka bermazhab Wadariyah, mazhab Jabariyah, mazhab Rafidiyah dan mazhab lain-lainnya. Mereka juga diberi usia yang panjang seperti yang diriwayatkan oleh Syaidina Umar r.a, katanya: "Pada suatu hari, kami duduk di dalam majlis Nabi SAW, tiba-tiba datang seorang lelaki tua dan pada tangannya terdapat satu tongkat. Maka ia memberi salam kepada Nabi SAW, maka dijawab oleh Nabi SAW salamnya lalu Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya engkau adalah Jin". Lelaki tua itu pun berkata: " Ya Nabi Allah, akulah yang bernama Hamah bin Hidhir bin Lapis bin Iblis dan akulah yang bertemu dengan Nabi Allah Nuh dan sekalian Nabi lainnya".
Kebanyakkan mereka menempati denai-denai, hutan belantara, hulu sungai, gunung-gunung dan bukit-bukit serta lautan.
<< SUKA INFO INI? KLIK LIKE DAN SHARE DI FACEBOOK >>