Pada mulanya ia hanya desiran angin yang sesekali mengutuskan rasa nyaman di kalangan penduduk beberapa daerah terutama di Keningau, Sabah.
Kemudian, desiran angin mula disertai hujan yang lebat mencurah. Dentuman guruh dan paluan kilat mengiringi bertalu-talu. Seterusnya dalam kegelapan malam, ketika jam menunjukkan sekitar 4 pagi pada 26 Disember 1996, angin itu mula berdesir semakin laju sehingga mencecah 80 kilometer sejam.
Rumah dan kediaman di beberapa daerah sekitar Sabah terutama di Keningau mula runtuh dilanda kelajuan angin berkenaan; pelbagai objek mula berterbangan, air sungai mula melimpah dan banjir kilat besar berlaku.
Angin sudah menjadi sesuatu yang menakutkan pada malam itu, ia sudah menjadi ribut ganas. Kebanyakan penduduk yang sedang tidur ketika itu terjaga dalam ketakutan.
Suasana terus menjadi kelam-kabut dan riuh-rendah suara jeritan penduduk yang cemas tenggelam dalam ribut yang semakin menggila. Seolah-olah alam sedang mengamuk malam itu, tidak pernah petaka sedahsyat itu berlaku di kawasan terbabit sebelum ini.
Penduduk segera meluru keluar dari rumah dalam himpitan perasaan penuh cemas dan takut. Meredah ribut dengan paluan angin dan tikaman air hujan tanpa henti, mereka berlari untuk mendapatkan perlindungan.
Pada malam itu, satu tragedi yang paling dahsyat direkodkan berlaku di negara ini, tidak pernah tragedi seteruk itu sebelum malam berkenaan.
Ribut Tropika Greg melanda Sabah dengan kawasan paling teruk terjejas adalah Keningau manakala Kota Kinabalu, Papar, Sipitang, Tuaran, Beaufort hanya mengalami kerosakan kecil.
Bencana alam itu dipercayai mengorbankan mangsa paling ramai dalam sejarah tragedi bencana alam di Malaysia; lebih 200 mangsa terkorban dan 102 lagi hilang dalam ribut yang berlaku selama kira-kira lima jam, bermula jam 1 pagi dan berakhir sekitar 6.30 pagi.
Di Keningau, kemusnahan dua kampung berhampiran Sungai Pampang iaitu Kampung Pampang dan Limbawan ibarat ‘padang jarak padang tekukur’ manakala sebuah kampung dikenali Batu Satu atau Kandang Ayam yang didiami kebanyakan warga Indonesia keturunan Tator, musnah sama sekali.
Polis, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Sabah Air Sdn Bhd (Sabah Air), bomba, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), beberapa jabatan dan agensi kerajaan selain penduduk setempat terus menjalankan operasi mencari mangsa.
Bagaimanapun, kerja mengeluarkan mayat mangsa tragedi di beberapa sungai agak sukar kerana mereka tertimbus di dasar serta ditindih pokok dan kayu serta lumpur tebal selain kurang peralatan dan kelengkapan bomba untuk dibawa ke lokasi kejadian berikutan terputusnya hubungan jalan darat antara Keningau dan daerah lain.
Pada hari ketiga gerakan mencari dijalankan, 15 lagi mayat mangsa tragedi ribut itu dijumpai. Seterusnya dari hari ke hari, mayat dijumpai berterusan dan statistik angka korban bertambah dari semasa ke semasa.
Menjelang ketibaan tahun baru 1997, mayat terus ditemui dan selepas dimakan hari, jasad yang ditemui semakin mengerikan dan dalam keadaan reput serta busuk.
Pada 12 Januari 1997 iaitu selepas lebih dua minggu operasi diteruskan, akhirnya gerakan mencari mangsa dihentikan. Lebih 200penduduk terkorban dalam tragedi itu dan 102 lagi masih diklasifikasikan sebagai hilang sehingga kini.
Cerita tragis tragedi Ribut Tropika Greg tidak pernah tamat walaupun tidak ramai lagi yang berbual mengenainya. Dua puluh enam tahun berlalu, kejadian itu terus kekal di dalam ingatan ribuan mangsa yang terselamat.
<< SUKA INFO INI? KLIK LIKE DAN SHARE DI FACEBOOK >>