Dunia Baru - Christopher Columbus?


Christopher Columbus (1451—20 Mei, 1506) adalah pengembara dan pedagang yang menyeberangi Lautan Atlantik dan sampai ke Amerika Syarikat pada tahun 1492 di bawah bendera Castilian Sepanyol. Dia percaya bahawa bumi adalah sebuah sfera kecil, dan mendakwa bahawa sesebuah kapal dapat sampai ke Timur Jauh melalui laluan arah barat.

Columbus bukanlah orang pertama sampai ke Amerika, yang dia dapati sudah diduduki. Dia juga bukan orang Eropah pertama yang sampai ke benua itu kerana sekarang telah diakui secara meluas bahawa orang-orang Viking dari Utara Eropah telah melawat Amerika Utara pada abad ke-11 dan mendirikan koloni untuk tempoh yang pendek, L'Anse aux Meadows. Terdapat andaian bahawa pelayar yang tidak dikenali pernah melawat Amerika sebelum Columbus dan membekalkannya dengan sumber untuk kejayaannya. Terdapat juga banyak teori mengenai ekspedisi ke Amerika oleh pelbagai orang sepanjang tempoh masa.

Terdapat banyak versi mengenai asal usul Columbus sebelum 1476. Walau bagaimanapun, mengikut versi yang paling dipercayai kebanyakan ahli sejarah, Columbus telah dilahirkan antara 26 Ogos dan 31 Oktober 1451 di Genoa, Itali. Bapanya ialah Domenico Colombo, saudagar bulu biri manakala emaknya ialah Susanna Fontanarossa, anak seorang saudagar bulu biri. Christopher mempunyai tiga adik lelaki, Bartolomeo, Giovanni Pellegrino, dan Giacomo, dan seorang adik perempuan, Bianchinetta.

Columbus adalah seorang yang berimpian. Ahli pelayaran Eropah telah cuba mencari jalan untuk sampai ke China, Jepun dan India melalui laut. Columbus tahunya bumi ini bulat dan berpendapat cara yang paling mudah untuk pergi ke Jepun adalah dengan belayar ke Barat mengelilingi glob. Beliau percaya jarak tersebut lebih kurang 5,000 km dari Kepulauan Canary.

Columbus, seorang kelasi yang mahir, cuba menjual ideanya kepada Raja Portugal, yang kemudiannya menghampakan beliau. Raja Inggeris, Henry VII, tidak mahu menanggung risiko terhadap wang yang diperlukan untuk pelayaran tersebut. Maka, Columbus mengambil keputusan untuk mencuba nasib di Sepanyol.

Selama 4 tahun beliau menunggu di istana akibat dibiarkan oleh pemerintah Sepanyol. Raja Ferdinand dan Ratu Isabella, akhirnya beliau meninggalkan istana dalam keadaan yang putus asa. Semasa ini, seorang utusan daripada Ratu Isabella menyatakan bahawa baginda bersetuju menyediakan wang tersebut. Columbus belayar dengan 3 kapal kecil, iaitu Santa Maria, Nina dan Pinta, berserta dengan lebih kurang 90 orang. Selepas meninggalkan Kepulauan Canary, mereka belayar ke Barat selama 3 minggu dan orang-orangnya mulai memberontak dengan berani. Tetapi Columbus, seorang yang tinggi, kuat dan berambut merah, berkata "Terus belayar!" dan menenangkan kebimbangan mereka. Pada awal pagi 12 Oktober 1492, seorang pemerhati ternampak daratan di bawah cahaya bulan.

Daratan tersebut adalah sebahagian daripada Kepulauan Bahamas. Columbus amat yakin daratan tersebut adalah Kepulauan Hindia dan beliau sangat hampir dengan Jepun. Beliau belayar dari satu pulau ke pulau yang lain untuk melihat orang yang disangkakan orang "Indian", dengan itu, orang Indian Amerika dinamai sedemikian.

Santa Maria karam di pulau yang dinamakan oleh Columbus sebagai Hispaniola. Beliau mengambil keputusan meninggalkan 40 orang di situ untuk membentuk satu koloni dan kembali ke Sepanyol bersama dengan 2 kapal yang lain. Beliau dialu-alukan sebagai seorang pahlawan. Beliau diberi gelaran Laksamana Lautan Atlantik dan wizurai Hindia. Pada tahun 1493, beliau belayar semula dengan armada yang mengandungi 17 kapal dan 1,200 orang.

Pada ketibaan beliau yang kedua di Hispaniola, Columbus mendapati kesmua 40 orangnya telah dibunuh. Beliau membentuk koloni yang lain dan juga melawat Jamaica. Beberapa orang Sepanyol kembali ke Sepanyol merungut tentang pemerintahannya yang kejam sebagai wizurai. Walaupun demikian, beliau dibenarkan membuat ekspedisinya yang ketiga pada tahun 1498. Kali ini, beliau sampai ke Trinidad dan melangkah kaki ke tanah besar Amerika Selatan.

Walaupun beliau seorang pengembara yang baik, namun beliau bukan seorang gabenor yang baik. Begitu juga dengan 2 saudara lelakinya yang bekerja dengan beliau. Terlalu banyak rungutan tentang pemerintahan mereka sampai ke Sepanyol, sehingga gabenor baru, Francisco de Bobadilla, telah dihantar untuk mengambilalih. Francisco dengan segera menangkap Columbus dan 2 orang saudaranya dan menghantar mereka pulang ke Sepanyol dalam keadaan berantai.

Mereka semua diampunkan. Pada tahun 1502, Columbus dibenarkan melakukan satu lagi pelayaran. Ketika itu beliau yakin berada hampir dengan muara Ganges di India dan mendakwa beliau ternampak bayangan. Beliau pulang dalam keadaan sakit dan meninggal dalam keadaan yang masih mempercayai sampai ke Timur.

Dunia Baru

Dunia Baru ialah satu nama yang digunakan untuk menggelar rantau Amerika. Apabila istilah ini timbul pada akhir abad ke-15, benua-benua Amerika agak baru kepada orang Eropah yang mula-mulanya menyangka bahawa dunia hanya terdiri daripada Eropah, Asia, dan Afrika (iaitu Dunia Lama). Istilah "Dunia Moden" tidak wajar disamakan dengan "dunia moden"; dunia moden secara amnya memaksudkan suatu zaman sejarah, bukan sebuah tanah benua.

Asal-usul

Pada tahun 1493, Christopher Columbus kembali ke Eropah dari pelayaran sulung beliau ke rantau Amerika, dan pada 1 November tahun yang sama Peter Martyr d'Anghiera dalam sehelai surat beliau menggelar Columbus sebagau penemu "Dunia Baru" (novi orbis). Setahun kemuduan dalam sehelai lagi surat, beliau sekali lagi beliau mengungkitkan nama "Dunia Baru" (orbo novo) lagi.

Pada tahun 1524, istilah ini juga dipakai oleh Giovanni da Verrazzano dalam satu catatan pelayaran beliau pada tahun itu sepanjang pesisiran kawasan yang menjadi Amerika Syarikat dan Kanada zaman sekarang.

Seseorang boleh menyebut "Dunia Baru" dalam konteks sejarah apabila membincangkan pelayaran Christopher Columbus, Penaklukan Sepanyol di Yucatán, dsb. Keduanya, dalam konteks biologi, seseorang boleh membincangkan spesis Dunia Lama dan Dunia Baru.

Walaupun Amerika sentiasa dipanggil "Dunia Baru", namun Australasia doleh juga disifatkan sebagai "Dunia Baru" bergantung pada lingkungan perbualan. Dalam konteks biologi, Australasia bukan Dunia Baru mahupun Lama, kerana flora dan faunanya ketara bezanya daripada flora dan fauna di Eurasia dan benua Amerika. Wain dari Australia dan New Zealand dipanggil 'Dunia Baru' kerana hanya baru-baru ini berjaya memasuki pasaran Eropah, sekaligus memintas kelarisan wain Perancis dan Sepanyol (terutamanya di UK).

Lama lagi sebelum Columbus, di Eropah, wujudnya banyak legenda mengenai benua-benua Barat di seberang lautan. Adalah dipercayai bahawa ini berpunca daripada hubungan prasejarah dengan Dunia Baru. Contoh-contoh termasuk Ireland Besar Norse atau Hvítramannaland ("Tanah Orang Putih"); "rumah para orang kudus" yang dilawati St. Brendan, Ketua Rahib Cluainfert, yang tercatat dalam Kitab Lismore Ireland; legenda Madoc dari Wales; dan juga kisah Atlantis oleh Plato.
<< SUKA INFO INI? KLIK LIKE DAN SHARE DI FACEBOOK >>

Tragedi Ribut Greg di Sabah


Ribut Greg menyebabkan kemusnahan beberapa kampung di Keningau.

Pada mulanya ia hanya desiran angin yang sesekali mengutuskan rasa nyaman di kalangan penduduk beberapa daerah terutama di Keningau, Sabah.

Kemudian, desiran angin mula disertai hujan yang lebat mencurah. Dentuman guruh dan paluan kilat mengiringi bertalu-talu. Seterusnya dalam kegelapan malam, ketika jam menunjukkan sekitar 4 pagi pada 26 Disember 1996, angin itu mula berdesir semakin laju sehingga mencecah 80 kilometer sejam.

Rumah dan kediaman di beberapa daerah sekitar Sabah terutama di Keningau mula runtuh dilanda kelajuan angin berkenaan; pelbagai objek mula berterbangan, air sungai mula melimpah dan banjir kilat besar berlaku.

Angin sudah menjadi sesuatu yang menakutkan pada malam itu, ia sudah menjadi ribut ganas. Kebanyakan penduduk yang sedang tidur ketika itu terjaga dalam ketakutan.

Suasana terus menjadi kelam-kabut dan riuh-rendah suara jeritan penduduk yang cemas tenggelam dalam ribut yang semakin menggila. Seolah-olah alam sedang mengamuk malam itu, tidak pernah petaka sedahsyat itu berlaku di kawasan terbabit sebelum ini.


Rumah penduduk ranap sama sekali.

Penduduk segera meluru keluar dari rumah dalam himpitan perasaan penuh cemas dan takut. Meredah ribut dengan paluan angin dan tikaman air hujan tanpa henti, mereka berlari untuk mendapatkan perlindungan.

Pada malam itu, satu tragedi yang paling dahsyat direkodkan berlaku di negara ini, tidak pernah tragedi seteruk itu sebelum malam berkenaan.

Ribut Tropika Greg melanda Sabah dengan kawasan paling teruk terjejas adalah Keningau manakala Kota Kinabalu, Papar, Sipitang, Tuaran, Beaufort hanya mengalami kerosakan kecil.

Bencana alam itu dipercayai mengorbankan mangsa paling ramai dalam sejarah tragedi bencana alam di Malaysia; lebih 200 mangsa terkorban dan 102 lagi hilang dalam ribut yang berlaku selama kira-kira lima jam, bermula jam 1 pagi dan berakhir sekitar 6.30 pagi.

Di Keningau, kemusnahan dua kampung berhampiran Sungai Pampang iaitu Kampung Pampang dan Limbawan ibarat ‘padang jarak padang tekukur’ manakala sebuah kampung dikenali Batu Satu atau Kandang Ayam yang didiami kebanyakan warga Indonesia keturunan Tator, musnah sama sekali.

Polis, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Sabah Air Sdn Bhd (Sabah Air), bomba, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), beberapa jabatan dan agensi kerajaan selain penduduk setempat terus menjalankan operasi mencari mangsa.

Bagaimanapun, kerja mengeluarkan mayat mangsa tragedi di beberapa sungai agak sukar kerana mereka tertimbus di dasar serta ditindih pokok dan kayu serta lumpur tebal selain kurang peralatan dan kelengkapan bomba untuk dibawa ke lokasi kejadian berikutan terputusnya hubungan jalan darat antara Keningau dan daerah lain.

Pada hari ketiga gerakan mencari dijalankan, 15 lagi mayat mangsa tragedi ribut itu dijumpai. Seterusnya dari hari ke hari, mayat dijumpai berterusan dan statistik angka korban bertambah dari semasa ke semasa.

Menjelang ketibaan tahun baru 1997, mayat terus ditemui dan selepas dimakan hari, jasad yang ditemui semakin mengerikan dan dalam keadaan reput serta busuk.


Anggota penyelamat cuba mengeluarkan satu mayat yang tertimbus didalam tanah.

Pada 12 Januari 1997 iaitu selepas lebih dua minggu operasi diteruskan, akhirnya gerakan mencari mangsa dihentikan. Lebih 200penduduk terkorban dalam tragedi itu dan 102 lagi masih diklasifikasikan sebagai hilang sehingga kini.

Cerita tragis tragedi Ribut Tropika Greg tidak pernah tamat walaupun tidak ramai lagi yang berbual mengenainya. Dua puluh enam tahun berlalu, kejadian itu terus kekal di dalam ingatan ribuan mangsa yang terselamat.

<< SUKA INFO INI? KLIK LIKE DAN SHARE DI FACEBOOK >>

Lagenda Dan Mitos Berkaitan Serigala Jadian

BERBICARA mengenai dunia misteri, tidak lengkap rasanya tanpa mengaitkan kisah serigala jadian, antara legenda kuno dan tersebar luas. Cerita serigala jadian boleh didapati sejak sejarah ditulis dan mitosnya berada di seluruh dunia dari China ke Iceland dan Brazil ke Haiti.

Sebahagian kisah paling awal serigala jadian diperoleh daripada sumber Romania dan Greek. Ia dikatakan bermula apabila Raja Lycaeon dikunjungi dewa. Tidak mempercayai kumpulan yang melawatnya dewa, dia memutuskan untuk menguji mereka dengan menghidangkan daging manusia dalam satu hidangan meraikan kedatangan dewa terbabit. Sebaik mengetahui helah itu, kumpulan dewa berkenaan menukar Raja Lycaeon menjadi serigala jadian.

Satu lagi kejadian yang sering dikaitkan dengan serigala jadian ialah malam bulan mengambang penuh. Menariknya, tidak seperti banyak filem mengenai kisah itu, serigala jadian ‘sebenar’ boleh berubah kejadian pada bila-bila masa tanpa menanti bulan penuh.

Dalam satu kisah pada 1588 di pergunungan Auvergne, kisah mengenai serigala jadian betina berdarah raja begitu popular. Ia menceritakan bagaimana seorang lelaki bangsawan melihat ke luar tingkap biliknya dan ternampak pemb
uru yang diupah memeriksa keadaan pondok di belakang istana.

Ketika di dalam hutan, dengan masih diperhatikan tuannya, pemburu itu terserempak dengan serigala. Dalam pergelutan, dia berjaya memotong tapak kaki haiwan itu dan meletakkannya di dalam beg yang dibawa. Sebaik kembali ke istana dengan cenderamata mengerikan itu, pemburu berkenaan membuka begnya untuk menunjukkan bukti pergelutan dengan serigala. Anehnya, di dalam beg itu bukan lagi tapak kaki haiwan, sebaliknya mengandungi tangan wanita memakai sebentuk cincin emas.

Lelaki bangsawan berkenaan mengenali cincin itu, mengarahkan pemburu pergi dari istana dan segera mencari isterinya. Dia menemui isterinya di dapur, sedang merawat luka pada lengannya. Apabila membuka balutan, barulah dia mengetahui tangan isterinya sudah dipotong. Akhirnya wanita itu mengakui bertukar menjadi serigala. Dengan pengakuan itu, dia akhirnya menerima hukuman mati dengan dibakar.


Sementara itu, satu-satunya serigala jadian dalam sejarah Georgia dikatakan dikebumikan di daerah O’Neal di Mukim Talbot. Warga tua daerah berkenaan menceritakan kisah seorang lelaki yang boleh menjadi serigala jadian dan membaham ternakan biri-biri mereka.

Penduduk kampung mengadu banyak biri-biri mereka diserang walaupun ada beberapa pengawal di pusat kawalan. Lebih membingungkan apabila ia tidak dimakan oleh penyerang dan seolah-olah ia dibunuh untuk keseronokan.

Pemilik tanah semakin mengetatkan kawalan dan mengadakan perangkap. Lebih ramai pengawal disediakan untuk mengawal biri-biri pada waktu malam, pemburu profesional dibawa masuk ke kampung dan raifal baru turut dibeli sebagai langkah berjaga-jaga.

Bagaimanapun, mereka tidak dapat membunuh penyerang sehinggalah menemui seorang lelaki yang dianggap penduduk kampung seorang yang kuat bekerja dan mulia.

“Di Bohemia, kami berdepan masalah sama. Penduduk kehilangan biri-biri sehinggalah seseorang memberitahu kami mengenai legenda serigala jadian. Ia membunuh kerana seronok, cuma untuk merasai darah. Jadi, penduduk melakukan sama seperti apa yang saya minta awak lakukan. Ini palang perak milik saya. Ambil dan cairkan ia menjadi bentuk peluru. Ia satu-satunya cara serigala jadian dapat dibunuh,” katanya.

Penduduk kampung mengambil nasihat itu dan seorang penduduk memasukkan peluru berkenaan di dalam raifal. Pada malam kedua, dia ternampak serigala dan menyasarkan tembakan tepat pada sasaran. Haiwan itu menjerit kuat tetapi kedengaran lebih kepada jeritan seorang perempuan.

Bangkai haiwan itu tidak ditemui tetapi penduduk menemui kaki kiri depan yang jelas terputus akibat terkena tembakan peluru perak. Kejadian menyerang biri-biri tidak lagi berlaku.

Beberapa tahun kemudian barulah seorang doktor mendedahkan pada malam kejadian tembakan itu juga dia merawat tangan seorang wanita muda yang kelihatan seperti cedera terkena peluru yang memutuskan tangannya.
<< SUKA INFO INI? KLIK LIKE DAN SHARE DI FACEBOOK >>

Siapa Tekan Suis Pelepasan Bom Atom?


Anda mungkin tidak mengenali dua orang individu didalam gambar diatas. Tetapi aku yakin korang pernah baca dan lihat filem hasil kerja dua anggota tentera udara Amerika Syarikat ini. Hasil kerja mereka berdua menyebabkan Perang Dunia Kedua tamat secara mendadak

Amacam? Sudah boleh teka siapa mereka?

Oklah. Yang disebelah kiri ialah Maj. Thomas Ferebee dan disebelah beliau ialah Capt. Kermit Beahan. Ferebee ialah individu yang menjatuhkan bom atom Little Boy dari Enola Gay keatas Hiroshima. Beahan pula menjatuhkan bom atom Fat Man dari pesawat The Great Artiste keatas Nagasaki. Sekarang anda tahu siapa mereka.

Selapas perang dunia kedua nama mereka tidak pernah disebut. Aku sendiri baru sedar yang aku tak tahi nama individu yang menjatuhkan 2 bom yang meragut hampir 300 000 nyawa. Yang aku tahu bom pertama dijatuhkan oleh Enola Gay dan dipandu Capt Paul W Tibbet. Kenapa nama krew yang mengakhiri perang dunia kedua lenyap dari catitan sejarah? Aku rasa ini semua dibuat dengan sengaja supaya kita melupakan mereka-mereka yang membunuh paling banyak manusia hanya dengan menekan 2 suis pelepasan bom.

<< SUKA INFO INI? KLIK LIKE DAN SHARE DI FACEBOOK >>

ZAMAN BATU : SATU PEMBOHONGAN SEJARAH


Tahukah anda bahawa 700,000 tahun dahulu, manusia melayari lautan dengan binaan kapal yang bagus?

Atau pernahkah anda mendengar manusia yang digelar sebagai 'orang gua primitif' memiliki kemahiran artistik dan pemahaman sebagaimana yang dipunyai oleh artis moden?

Adakah anda tahu bahawa Neanderthal yang hidup sejak 80,000 tahun dulu dan digambarkan oleh para evolusionis sebagai 'manusia beruk', juga mampu membuat alatan muzik, memperoleh keselesaan dari pakaian dan aksesori, dan berjalan di atas pasir panas beralaskan sandal?

Dalam segala kemungkinan anda mungkin tidak pernah mendengar fakta-fakta berkenaan. Sebaliknya, anda telah diberi tafsiran salah bahawa manusia tersebut adalah separuh manusia dan separuh beruk, tidak mempu berdiri lurus, kurang kemahiran untuk berkomunikasi dan hanya mengeluarkan bunyi dengusan yang pelik. Ini kerana dalam masa lebih daripada 150 tahun, kebanyakan orang seperti anda telah dihujani oleh keseluruhan penipuan ini.

Tujuannya adalah untuk meneruskan perjuangan falsafah materialis yang menafikan kewujudan Allah SWT. Menurut perspektif yang menyeleweng ini, alam semesta dan kebendaan adalah abadi. Dengan erti kata lain, ia tiada permulaan, dan juga tiada Pencipta. Asas yang kononnya saintifik untuk kepercayaan karut ini adalah teori evolusi.

Oleh kerana mereka mendakwa bahawa alam semesta tiada Pencipta, para evolusionis harus memberi penjelasan tentang bagaimana kehidupan dan sejumlah spesis lain wujud di bumi ini. Untuk tujuan itu, mereka menggunakan teori evolusi. Berdasarkan teori ini, semua kejadian dan kehidupan di alam semesta berlaku secara kebetulan. Sebahagian benda tidak bernyawa di zaman purbakala bercantum secara tidak sengaja lalu membentuk sel hidup pertama. Kemudian organisma terwujud hasil daripada ketidaksengajaan selama jutaan tahun ini. Dan akhirnya manusia wujud sebagai peringkat terakhir rantaian evolusi.

Sejarah awal manusia - yang dianggap hasil daripada perubahan secara kebetulan selama jutaan tahun, dan setiap satunya lebih mustahil daripada perubahan terakhir, telah diselewengkan untuk menyokong senario songsang ini. Evolusionis, yang sememangnya ketiadaan bukti-bukti kukuh, mendakwa bahawa asal sejarah manusia adalah seperti berikut: Bermula seperti bentuk kehidupan lain, berlangsung daripada organisma purba hingga kepada manusia yang dipercayai perkembangan paling maju berbanding yang lain. Oleh itu, sejarah manusia kononnya berkembang daripada komuniti primitif kepada masyarakat bandar yang moden.

Hakikatnya, anggapan ini sama sekali tidak mempunyai sebarang bukti. Ia juga menggambarkan sejarah manusia seperti yang didakwa oleh falsafah materialis dan teori evolusi.

Para saintis evolusionis - dalam usaha mereka untuk menyokong proses evolusi yang dianggap bermula daripada sel tunggal kepada organisma berbilang sel, kemudian daripada beruk kepada manusia - bukan saja telah 'menulis' semula asal-usul manusia, bahkan juga 'mencipta' era khayalan seperti 'Zaman Orang Batu' dan 'Zaman Batu' untuk menjelaskan cara hidup 'Orang Primitif'. Evolusionis, yang percaya pada kepalsuan bahawa manusia dan beruk berasal daripada moyang yang sama, telah memulakan usaha dalam kajian baru demi membuktikan dakwaannya. Untuk itu, mereka meneliti setiap batu, atau mata panah, atau mangkuk yang ditemui semasa penggalian arkeologi. Walau bagaimanapun, gambaran 'manusia beruk' duduk di dalam gua yang gelap sambil berpakaian berbulu serta tidak mampu bercakap dengan baik, semuanya adalah rekaan semata-mata. Orang primitif tidak pernah wujud, begitu juga dengan Zaman Batu. Semuanya adalah pembohongan evolusionis dengan sebahagian bantuan media.

Dakwaan para evolusionis telah diruntuhkan sepenuhnya oleh perkembangan terbaru dalam bidang sains - terutamanya dalam ilmu biologi, paleontologi, mikrobiologi, dan genetik. Pendapat bahawa masing-masing spesis berubah menjadi 'versi terbaru', telah dibuktikan salah.

Manusia juga tidak berkembang daripada makhluk beruk. Manusia sememangnya adalah manusia sejak kewujudan mereka lagi, dan mempunyai peradaban canggih sehingga ke hari ini. Maka, 'evolusi sejarah' juga tidak pernah terjadi.


<< SUKA INFO INI? KLIK LIKE DAN SHARE DI FACEBOOK >>

Hari Paling Bosan


Tahun 1954 mencatat beberapa sejarah termasuk berakhirnya catuan makanan akibat perang, Permaisuri Britain menjadi golongan diraja pertama melawat Australia dan pelakon terkenal, Marilyn Monroe mengahwini Joe DiMaggio.

Bagaimanapun, di sebalik peristiwa bersejarah pada tahun itu, terdapat satu tarikh yang dianggap sebagai 'paling membosankan sepanjang abad ke-20.'

Tanggal 11 April 1954 tidak membawa sebarang makna dalam sejarah kerana tiada apa yang penting berlaku pada hari itu, sama ada berita hangat, kelahiran atau kematian individu terkenal.

Pakar sejarah mengumumkan tiada sebarang peristiwa penting dapat dikesan pada tarikh itu selepas memasukkan hampir 300 juta data ke dalam sejenis perisian komputer.

Penemuan itu bukanlah yang pertama membabitkan tarikh yang dianggap paling bosan.

Tarikh 18 April 1930 juga pernah dianggap sebagai paling tidak menarik selepas pembaca berita radio BBC di Britain mengumumkan 'Tiada berita untuk hari ini' kepada pendengar.

<< SUKA INFO INI? KLIK LIKE DAN SHARE DI FACEBOOK >>

Siapa Abdullah Hukum? Sejarah Kuala Lumpur


Abdullah Hukum atau nama asalnya Abdullah Rukun, ketika itu berusia 15 tahun berkelana merentasi Selat Melaka ke Melaka sebelum ke Kuala Lumpur bersama sekumpulan rakannya dengan berjalan kaki tiga hari tiga malam. Banyak tempat yang disinggahi dan banyak pula pengalaman ditempuhinya. Setibanya di Kuala Lumpur, beliau menumpang di rumah Haji Abdul Ghani di Java Street.

Ketika itu, Kuala Lumpur mempunyai dua lorong saja iaitu Java Street dan Market Street, manakala Ampang Street (kini Lebuh Ampang) dahulunya adalah tempat sekumpulan ceti beroperasi dan di situ juga ada sebuah kolam ikan milik Almarhum Sutan Puasa.

Rumah kedai pada masa itu berbumbung atap bertam dan berdinding buluh, manakala peniaga di situ kebanyakannya menjual kain dan makanan, semuanya orang Melayu berketurunan Rawa dan Mendahiling. Sutan Puasa dan Raja Bilah adalah di antara ketua masyarakat berpengaruh ketika itu. Kedua-dua ketua ini mengutip hasil dagangan daripada peniaga yang melalui Sungai Klang dan Sungai Gombak. Cukai timah pada masa itu ialah seringgit sebahara (tiga pikul).

Setapak (dulu Hulu Sungai Tapak) dan Air Panas (dulunya Hulu Gombak) adalah kawasan sawah padi milik Sutan Puasa. Beliau pernah mengambil upah membuat tali air selama tiga tahun di Serambut (Batu Lima Gombak sekarang). Ketika itu, Sutan Puasa adalah ketua yang disenangi penduduk tempatan kerana semua orang boleh mengerjakan sawahnya dengan kadar upahan sepuluh gantang padi daripada setiap seratus gantang.

Abdullah Hukum juga pernah pergi menghadap Raja Laut (Putera Raja Muhamad) kerana ingin meminta sebidang tanah untuk dijadikan kampung baru. Raja Laut memberikan surat kebenaran untuk membuka tanah di Pudu dan menjadi ketua penduduk di situ. Ada ramai orang Kerinchi mengikutnya dan tinggal di Pudu (di kawasan Bukit Bintang sekarang).

Di sana, Abdullah Hukum dan pengikutnya menjalankan aktiviti menanam sayur-sayuran, tebu, pisang, sirih dan bersawah padi. Abdullah Hukum menjadi Ketua Kampung di Pudu selama tujuh tahun. Dikatakan juga beliau pernah menjadi nakhoda yang mengambil upah membawa beras dengan perahu dari Klang ke Kuala Lumpur. Dia mendapat upah empat puluh ringgit untuk sekoyan guni beras.

Selepas membuka kawasan Pudu, Abdullah Hukum mendapat surat kebenaran daripada Raja Mahmud (Putera Sultan Muhamad) untuk membuka kebun di Bukit Nanas. Beliau juga mendapat surat kebenaran daripada Maxwell dan Raja Laut membuka Sungai Putih (kawasan Jalan Bangsar sekarang).

Ketika tinggal di Sungai Putih, Abdullah Hukum membuka Bukit Candi Putra (kini Bukit Putera) yang menempatkan Kompleks Angkasapuri dan Kampung Kerinchi). Abdullah Hukum diangkat menjadi Ketua Kampung di Sungai Putih dengan persetujuan Penghulu dan Datuk Dagang. Selepas dilantik secara rasmi sebagai Ketua Kampung dan Penghulu, Abdullah Hukum menghentikan perniagaan kerbau kerana beban tugas semakin bertambah.

Ketika beliau menjadi Penghulu inilah Abdullah Hukum cuba menyatukan tiga kaum utama di situ Melayu, Cina dan India. Sebagai menghargai kejayaannya itu, dia menamakan jalan utama di situ sebagai Jalan Bangsa sempena penyatuan ketiga-tiga kaum. Bangsa kemudian bertukar menjadi Bangsar.

Apabila meletus peperangan Selangor dan Pahang, Sultan Abdul Samad memanggil Abdullah Hukum untuk membantu melawan musuh baginda. Baginda melantik Abdullah Hukum yang juga Datuk Dagang sebagai panglima perang.

Sebagai menghormati jasa dan bakti Datuk Dagang, Sultan Abdul Samad mengurniakan sebidang tanah seluas satu perempat ekar kepadanya. Tanah itu terletak berhampiran Sungai Klang, satu kawasan strategik dari segi pertanian dan perhubungan. Di samping itu, Datuk Dagang dikurniakan kuasa untuk menyelesaikan masalah di kalangan penduduk kampung dan kawasan sekitarnya.

Datuk Dagang menjadikan kawasan itu sebagai perkampungan tetap untuk pengikutnya. Kampung itu dinamakan Kampung Haji Abdullah Hukum sempena nama beliau. Ketika Abdullah Hukum datang ke kampung itu, pada 1890-an, pekerjaan utama penduduk di situ ialah bersawah padi dan bercucuk tanam.

Selepas kemangkatan Sultan Abdul Samad pada 1898, Abdullah Hukum menumpukan baktinya kepada putera baginda, Sultan Alauddin Sulaiman Shah. Abdullah Hukum pulang ke Sumatera pada 1929, selepas menjadi ketua kampung selama tujuh atau lapan tahun. Menurut cerita, beliau meninggal dunia pada usia 125 tahun.

Haji Mahmud, seorang daripada enam anaknya mengambil tugas ketua kampung selepas bapanya mengundur diri. Cucunya, Kamaruddin Mahmud mewarisi pusaka kampung ini hingga sekarang, dan kesan peninggalan termasuklah sebuah rumah milik Abdullah Hukum masih ada di kampung Abdullah Hukum.

Kini, Kampung Abdullah Hukum terletak di tengah bandar raya Kuala Lumpur sudah jauh berubah. Harga tanah dan rumah kediaman di situ melambung berpuluh kali ganda. Sudah tidak ada orang yang bersawah padi atau berkebun sayur di situ lagi. Sungai Klang yang menjadi terusan di Kampung Haji Abdullah Hukum sekarang bukanlah aliran sungai yang asal. Sungai ini dulunya melingkari bahagian Jalan Syed Putra yang kini menjadi tapak pusat beli-belah Mid Valley.

Alangkah malang jika nama besar ini turut tersisih seperti pupusnya nama Taman Ghazali Shafie dan kampung Paya di Jalan Bangsar berdekatan Kampung Abdullah Hukum, selepas deretan kedai yang menempatkan peniaga Melayu di situ dirobohkan untuk projek pembesaran Jalan Bangsar sekitar 1987. Walaupun peniaga di Taman Ghazali Shafie itu dipindahkan ke Kompleks Bangunan Uda di Bangsar Utama, nama Taman Ghazali Shafie tidak lagi tertera di atas peta Kuala Lumpur.

Kita tidak mahu nama Abdullah Hukum, seorang peneroka awal penempatan Kuala Lumpur tertindih dengan tumpuan terhadap Kapitan Yap Ah Loy sehingga nama Abdullah Hukum turut terpadam di dalam lipatan sejarah Kuala Lumpur.

Demikian iltizam Abdullah Hukum yang menjadi ikon warisan sejarah Kuala Lumpur sejak penerokaannya dalam era 1850-an sehingga ke hari ini. Sejarah 50 tahun Malaysia merdeka tahun ini biarlah dirayakan tanpa meluputkan nama pejuang dan perintis bangsa yang banyak meninggalkan jasa, seperti Abdullah Hukum.

<< SUKA INFO INI? KLIK LIKE DAN SHARE DI FACEBOOK >>