Peristiwa Berdarah Ramadhan - Tak Bai

Peristiwa berdarah Tak Bai yang berlaku pada 24 Oktober 2004 merupakan peristiwa di mana 78 orang penduduk Islam kehilangan nyawa semasa dalam tahanan tentera Thailand, dalam bulan Ramadan. Bagaimanapun kerajaan Thailand kemudiannya memutuskan bahawa tidak terdapat sesiapapun yang bersalah dalam kejadian tersebut.

Peristiwa berdarah Tak Bai bermula apabila 6 orang lelaki tempatan ditahan dan dituduh membekalkan senjata kepada pihak pemberontak. Penahanan mereka dibantah oleh penduduk tempatan yang kemudiannya mengadakan perhimpunan dan tunjuk perasaan bagi menuntut pembebasan rakan serta sanak saudara mereka itu.

Perhimpunan tersebut bertukar menjadi ganas apabila tentera menggunakan gas pemedih mata dan meriam air terhadap orang ramai yang kemudiannya menyebabkan enam lelaki berkenaan mati ditembak.

Beratus-ratus penduduk tempatan yang kesemuanya beragama Islam kemudiannya ditangkap dan dibawa dengan trak ke sebuah kem tentera di Pattani dengan tahanan dibawa dalam keadaan terbaring tindih-menindih..Apabila trak berkenaan tiba di kem tersebut beberapa jam kemudian, kebanyakan mereka yang ditahan itu didapati meninggal dunia akibat sesak nafas. Kejadian pada 24 Oktober 2004, di bulan Ramadan itu mencetuskan bantahan di seluruh dunia dan meningkatkan keganasan di selatan negara Thailand.

Perdana Menteri Thailand Thaksin, memberikan sokongan penuh di atas tindakan tentera dan kenyataan pertamanya adalah "..kesemua 78 orang mati akibat mereka sudahpun lemah akibat berpuasa semasa bulan Ramadan."

Kejadian ini memburukkan lagi hubungan antara minoriti penduduk Islam yang tertumpu di Wilayah Selatan Thailand dengan sebahagian besar daripada 62 juta penduduk Thailand yang lain yang merupakan penganut agama Buddha.

Setakat ini, lebih 1,000 orang terbunuh termasuk penganut Islam dan Buddha akibat keganasan yang sebahagian besarnya didakwa berpunca daripada perbuatan puak pemisah yang bertumpu di Yala, Narathiwat dan Pattani. Sesetengah pihak pula mendakwa kegansan yang berlaku itu berpunca daripada jenayah terancang dan amalan rasuah.

Bagi menangani isu itu, kerajaan Thailand menubuhkan Suruhanjaya Perdamaian Kebangsaan dan buat pertama kalinya melantik penganut Islam, Jen Sonthi Boonyaratglin, sebagai panglima tentera negara ini.

Kebanyakan rakyat Thailand berpendapat keganasan akan terus berlaku walaupun pelbagai langkah diambil oleh kerajaan bagi mengatasinya, termasuk pelaksanaan kuasa darurat bagi menangani pemberontakan.

Tinjauan pendapat oleh Persatuan Penyelidikan Pemasaran Thailand menunjukkan 62 peratus responden di Bangkok menjangka keadaan di tiga wilayah berkenaan akan menjadi lebih buruk.

Dalam kaji selidik itu, 524 responden di 18 daerah ditanya sama ada mereka menjangka keadaan di selatan Thailand akan bertambah baik, semakin buruk atau kekal seperti sekarang dalam tempoh setahun akan datang.

Enam puluh dua peratus daripada mereka berkata keadaan di wilayah itu akan menjadi semakin buruk, 27 peratus berpendapat keadaannya tidak berubah dan hanya satu peratus meramalkan ia akan bertambah baik.

Hasil kaji selidik itu mungkin mendorong kerajaan Thailand untuk mengambil keputusan bagi memburu pihak militan dengan tindak pantas tentera bagi menghapuskan gerakan militan dengan pantas, dan ini pastinya mendorong kepada peningkatan pertempuran, Keadaan ini sekaligus dijangka akan mendorong pihak pemisah untuk mengembangkan serangan mereka kedaerah lain di negara Thailand, bagi mengurangkan tekanan tentera di Wilayah Selatan Thailand. Serangan dikawasan tumpuan perlancungan pastinya mampu mengancam ekonomi negara Thailand yang banyak bergantung kepada sektor perlancongan.






LIKE FACEBOOK PAGE KAMI UNTUK UPDATE LEBIH PANTAS

<< SUKA INFO INI? KLIK LIKE DAN SHARE DI FACEBOOK >>