Sejarah Asal Dunkin Donut

BAGI penggemar donat, jenama Dunkin’ Donuts sudah tentu tidak asing lagi buat mereka. Dunkin’ Donuts adalah syarikat pengeluar donat dan kedai kopi global rantaian Amerika Syarikat (AS) yang berpusat di Canton, Massachusetts di Greater Boston.

Produk rantaiannya termasuklah donat, bagel, barangan dibakar (baked good), dan pelbagai jenis minuman panas dan ais.

Ia diasaskan pada 1950 oleh William Rosenberg di Quincy, Massachusetts.

Dengan sebuah trak kantin, Rosenberg memulakan perniagaan menyediakan kopi, pastri dan sandwic kepada pekerja kilang dan tapak pembinaan.

Namun, selepas melihat sebahagian pendapatan perniagaannya datang daripada kopi dan donat membuatkan Rosenberg mengorak langkah untuk membuka kedai sendiri.

Pada 1948, dia membuka kedai kopi dan donat pertamanya di Quincy, Massachusetts dengan nama ‘Open Kettle’, sebelum ditukar kepada Dunkin’ Donuts dua tahun kemudian.

Seawal 1955, Rosenberg melibatkan perniagaan Dunkin’ Donuts kepada francais dan kemudian syarikat ini semakin berkembang serta melobi di pameran perdagangan untuk mewujudkan kumpulan industri yang menjadi Persatuan Francais Antarabangsa.

Sebelum 1990, pesaing utama Dunkin’ Donuts adalah Mister Donut, tetapi pada Februari tahun yang sama, Mister Donut dibeli oleh pemilik Dunkin’ Donuts, Allied-Lyons.

Pada 2002, Rosenberg meninggal dunia akibat kanser dalam usia 86 tahun.

Anak lelaki Rosenberg terus mengembangkan perniagaan itu dengan pengambilalihan Baskin-Robbins and rangkaian sandwic, Togo’s.

Bermula 2003, jenama Dunkin Donuts digiatkan semula dengan mengalihkan tumpuan daripada donat untuk kopi.

Tahun berikutnya, ibu pejabat syarikat itu dipindahkan ke Canton, Massachusetts.

Menjelang Mac 2014, pasaran antarabangsa terbesar Dunkin’ Donuts adalah Korea Selatan, yang mewakili hampir 40 peratus daripada semua jualan antarabangsanya dengan lebih 900 cawangan di negara itu.

Sehingga 2014, Dunkin’ Donuts telah dimiliki Dunkin’ Brands Inc.

Kini, Dunkin’ Donuts mempunyai lebih 6,000 kedai di 30 buah negara antaranya AS, Malaysia, Aruba, Bahamas, India, China, Korea, Kuwait dan Lebanon.